KETIKA ramai mempersoal kualiti perkhidmatan teksi, serta apakah ia masih relevan ketika e-hailing mula mengambil tempat, inisiatif kerajaan melancarkan Program Pembaharuan Teksi Madani Nasional wajar dipuji.
Ini kerana sejak lebih 10 tahun lalu, kontroversi membabitkan 'kereta merah' itu meriah dengan pelbagai isu seperti kondisi kenderaan, kadar tambang, kebajikan pemandu dan skim sewa beli.
Sejak adanya pelbagai pilihan e-hailing, perhentian teksi hanya menjadi lokasi berteduh ketika hujan, malah bagi sesetengah orang, teksi hanya menjadi sejarah.
Pelancaran Jumaat lalu seperti satu rahmat kepada lebih 40,000 pemandu teksi yang masih mencari rezeki dengan mengambil penumpang untuk menuju destinasi masing-masing.
Dana RM10 juta bagi memperkukuh pembangunan industri teksi negara bakal merubah wajah perkhidmatan teksi dari zaman kereta kuning hitam, merah putih kepada penggunaan Proton S70 sebagai teksi baharu yang tentunya memberi lebih keselesaan.
Kepada penumpang, itu satu pilihan yang menarik, manakala kepada pemandu, ia adalah jalan keluar kepada masalah sistem pajakan sebelum ini yang membelenggu karier mereka.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kerajaan akan terus mempertahankan dasar pemberian permit teksi secara terus kepada pemandu, sekali gus menamatkan amalan lama yang menyaksikan permit dimiliki individu tertentu sebelum disewakan kepada pemandu.
Jika kita teliti rungutan penumpang selama ini, antara masalah lain yang timbul termasuk juga isu caj melampau oleh segelintir pemandu.
Walaupun bukan semua, imej industri teksi sering tercalar akibat tindakan segelintir 'perosak' terutamanya di pintu masuk utama seperti KLIA atau kawasan pelancongan yang enggan menggunakan meter dan mengenakan caj cekik darah kepada pelancong asing.
Kehadiran ulat teksi yang memujuk rayu serta menipu penumpang dengan kadar tambang tidak munasabah menambahkan lagi persepsi kurang enak kepada industri pengangkutan awam itu.
Justeru, dengan adanya inisiatif terbaharu termasuk pakej jenama nasional Proton S70, pemandu teksi perlu menjadi duta kecil pelancongan negara kerana menjadi antara yang pertama ditemui pelancong sebaik tiba di negara ini.