TANGKAK - Barisan Nasional (BN) menghargai pendirian Pas yang mengarahkan ahlinya mengundi calon BN di kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau berharap sokongan itu benar-benar diterjemahkan menerusi undi pada hari pengundian nanti.
Menurutnya, sokongan yang diberikan itu tidak akan menjejaskan hubungan kerjasama yang terjalin antara UMNO dan Pas.
“Itu merupakan sokongan daripada kepimpinan Pas. Kita menghargai sokongan tersebut dan tidak merasakan bahawa ia akan mempengaruhi kerjasama yang telah atau bakal dijalinkan oleh UMNO, khususnya dengan Pas.
Program itu diadakan bagi memberi sokongan kepada calon MCA-BN DUN Tangkak, Datuk Haw Chin Teck dan turut dihadiri Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki serta Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Pada Sabtu, media melaporkan Pas mengesahkan arahan kepada ahli dan penyokongnya supaya mengundi calon BN pada PRN Johor, termasuk calon bukan Melayu daripada MCA dan MIC yang bertanding di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, keputusan itu dibuat bagi memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak memenangi kerusi berkenaan sehingga membuka laluan kepada DAP menjadi sebahagian daripada Kerajaan Negeri Johor.
Menurut beliau, arahan itu merupakan pendirian rasmi parti bagi menghadapi pertandingan di kerusi yang tidak ditandingi PN, selain bertujuan mengelakkan perpecahan undi yang boleh memberi kelebihan kepada PH.