Iran tawar konsesi Selat Hormuz kepada China

Iklan
Kapal-kapal belayar melalui Selat Hormuz berhampiran pesisir pantai Bandar Abbas, Iran. Foto: Reuters

BEIJING – Iran menyatakan China dan beberapa negara sahabat akan diberikan 'pertimbangan khas' dalam pelaksanaan caj kapal yang melalui Selat Hormuz, salah satu laluan perkapalan paling penting di dunia.

Duta Iran ke China, Abdolreza Rahmani Fazli berkata, laluan tersebut kini dianggap sebagai isu keselamatan negara susulan konflik beberapa bulan melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Iklan
Iklan

Justeru, Teheran sedang merangka aturan baharu pengurusan Selat Hormuz dengan kerjasama Oman, termasuk kemungkinan pelaksanaan caj ke atas kapal yang melaluinya.

“Kami pasti akan memberikan pertimbangan khas kepada China kerana mereka adalah negara sahabat,” katanya dalam Forum Keamanan Dunia di Beijing pada Sabtu.

Iklan

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk konsesi atau kadar caj yang akan dikenakan, namun menegaskan layanan istimewa akan diberikan kepada negara yang mempunyai hubungan baik dengan Iran.

Selat Hormuz merupakan laluan strategik yang menyalurkan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia sebelum konflik tercetus.

Iklan

Dalam perkembangan berkaitan, beberapa kapal dilaporkan berpatah balik ketika cuba meninggalkan Teluk Parsi, sekali gus menunjukkan ketidaktentuan masih berlaku di laluan berkenaan.

Amerika Syarikat dan beberapa negara Teluk menegaskan bahawa tiada pihak berhak mengenakan caj ke atas laluan antarabangsa itu, manakala beberapa negara Eropah pula dilaporkan terbuka terhadap cadangan bayaran transit dengan syarat tidak diskriminasi. - Agensi