KONSERT Cipta 4 yang berlangsung di Unifi Arena, Bukit Jalil malam tadi bukan sahaja menjadi pentas meraikan karya-karya Datuk M Nasir, malah dimeriahkan dengan kejutan sambutan hari jadi buat legenda muzik tanah air itu.
Lebih manis, kejutan hari jadi ke-69 itu menyaksikan ramai artis popular yang hadir menyaksikan konsert tersebut turut diajak naik ke pentas untuk mendendangkan lagu ALLAH Selamatkan Kamu.
Selain isteri beliau, Datin Marlia Musa turut menyerikan kejutan termasuklah Datuk Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Datuk Awie, Melly Goeslow, Marsha Milan Londoh, Mawi dan ramai lagi.
Konsert Cipta 4 di Bukit Jalil malam tadi diadakan tepat pada hari lahir M Nasir iaitu 4 Julai.
Konsert selama hampir tiga jam itu menyaksikan legenda berkenaan beraksi penuh bertenaga mendendangkan lagu-lagu popular beliau.
Antaranya termasuklah Tanya Sama Itu Hud Hud, Apokalis, Gerhana, Raikan Cinta dan banyak lagi.
Menambah meriah konsert itu, M Nasir secara spontan mengajak Siti Nurhaliza naik ke pentas bagi berduet dengan beliau.
Walaupun tanpa alat ear monitor, paduan suara Siti Nurhiza bersama M Nasir menggegarkan Stadium Unifi menerusi lagu Bagaikan Sakti.
Tidak ketinggalan M Nasir turut secara spontan mengajak Ziana bernyanyi bersama beliau selepas penyanyi berkenaan naik ke pentas menyanyikan lagu hari jadi.
Ziana yang juga 'sporting' malam tadi, berpadu suara dengan M Nasir mendendangkan lagu ciptaan legenda berkenaan Halaman Asmara.