'MB Johor jangan tumpu projek mega sahaja, dengar masalah rakyat' - Anwar

Iklan
Anwar berucap sempena Program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor diingatkan supaya tidak hanya memberikan tumpuan kepada projek pembangunan mega sehingga mengabaikan masalah asas yang dihadapi rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keperluan kemudahan asas untuk rakyat termasuk di kampung dan Felda perlu diberi perhatian dan penyelesaian.

Iklan
Iklan

Jelasnya, tiada gunanya mengeluh pelan induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dimeterai kerana projek tetap berjalan dan puluhan bilion ringgit dana masuk direkodkan.

Katanya, peruntukan yang diterima di Johor adalah lebih tinggi berbanding negeri lain seperti Perak, Selangor atau Pulau Pinang kerana negeri ini mempunyai potensi untuk muncul sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi penting di rantau ini.

Iklan

"Selalu saya tekankan, jadi Menteri Besar, jangan kita ingat projek besar-besar saja. Mengenai JS-SEZ, RTS, itu kerajaan Persekutuan (selesaikan),

"Soal jalan kecil-kecil, surau, rumah-rumah rakyat dan rumah generasi kedua, itu kerajaan negeri, tolong buatlah. Yang puluh-puluh bilion tu saya bantu, kerja saya, yang lain.

Iklan

"Saya pergi ke rumah kos rendah, teruk keadaan dia, ini rumah milik negeri, baikilah sikit," katanya ketika berucap sempena Program Dialog Terbuka Belia Johor di Felda Ulu Tebrau, di sini pada Sabtu.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, Datuk Onn Hafiz Ghazi selaku Menteri Besar Johor perlu bersikap adil dan baik dengan semua pihak.

Ujarnya, Johor merupakan negeri yang maju dan berpotensi besar untuk dimahukan namun perlu adalah beberapa perubahan supaya lebih prihatin pada orang yang susah.

"Johor Bahru ini kota yang segar, rancak pembangunannya dan pertumbuhannya maju, antara pembangunan yang membanggakan di rantau ini. Tapi setengah jam daripada situ, nampak kawasannya daif," katanya.

Anwar berkata, golongan orang muda harus bijak memilih pemimpin Melayu yang bermaruah supaya pemikiran soal 'Cina nak ambil alih' (negara) tidak lagi terjadi.

"Ini tidak, pergi ke kawasan Felda, marah orang, jumpa penjawat kerajaan, marah orang, jumpa anak muda, ajar sana ajar sini, tapi kalau tengok orang besar sikit, tersengih-sengih.

"Saya ada menghadap Pemangku Sultan Johor, dalam sistem raja kita kena jaga dan muliakan. Tetapi, bezanya saya apa? Saya cakap dengan baik. Ampun Tuanku, ini masalah-masalah yang kita kena dengar, Tuanku dengar.

"Kenyataan kita kena sampaikan, saya ada mandat, saya dengar pendengaran rakyat. Felda kata apa? Rumah rakyat kata bagaimana? Masjid yang buruk, daif bagaimana? Sekolah-sekolah daif bagaimana? Ini saya kena sampaikan," ujarnya.