Mekanisme baharu tepati kehendak rakyat

Iklan
Pelaksanaan BUDI Diesel disifatkan sebagai langkah tepat dalam memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar layak.

SHAH ALAM – Pelaksanaan Program Bantuan Subsidi Madani (BUDI) Diesel disifatkan sebagai langkah tepat dalam memastikan subsidi diesel disalurkan secara lebih bersasar kepada golongan yang benar-benar layak, sekali gus membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr Saravanan Thambirajah berkata, pelaksanaan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter menerusi program itu menunjukkan kerajaan mengambil kira maklum balas rakyat dan bersedia menambah baik mekanisme subsidi agar lebih bersasar, adil serta berkesan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berbanding subsidi secara menyeluruh yang mudah mengalami ketirisan, pendekatan itu memastikan manfaat lebih tertumpu kepada rakyat yang benar-benar layak.

"Pada masa sama, ia turut membantu mengawal kos operasi perniagaan.

Iklan

"Jika kos perniagaan dapat dikekalkan pada tahap lebih rendah, tekanan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan juga dapat dikurangkan, sekali gus memberi manfaat kepada pengguna secara keseluruhan," katanya kepada Sinar Ahad.

Saravanan

Iklan

Dalam pada itu, beliau berkata, FOMCA melihat penggunaan MyKad sebagai mekanisme pembelian diesel bersubsidi merupakan sistem yang lebih mudah dan telus.

Katanya, mekanisme itu bukan sahaja memudahkan pengguna yang layak, malah membantu mengurangkan ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi yang selama ini menjadi beban kepada kewangan negara.

Bagaimanapun beliau berkata, kejayaan dasar itu bergantung kepada aspek pelaksanaannya.

"Kerajaan perlu memastikan tiada pengguna yang layak tercicir, terutama golongan rentan seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU), penduduk luar bandar dan mereka yang kurang celik digital.

"Mekanisme rayuan yang mudah, saluran bantuan secara fizikal serta khidmat pelanggan yang responsif perlu sentiasa diperkukuh supaya semua yang layak dapat menikmati manfaat subsidi ini," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berpandangan subsidi individu tidak seharusnya digunakan untuk menampung kos operasi syarikat.

"Bagi kenderaan milik syarikat atau majikan, kos diesel sewajarnya ditanggung oleh majikan sebagai sebahagian daripada kos menjalankan perniagaan," ujarnya.

Beliau berkata, FOMCA menyokong pelaksanaan BUDI Diesel kerana merupakan pendekatan yang lebih mampan dalam pengurusan subsidi negara

Menurutnya, sistem itu bagaimanapun perlu terus dipantau dan ditambah baik bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara, mengurangkan ketirisan, menyalurkan bantuan kepada golongan yang layak serta membantu mengurus kos sara hidup dan kos perniagaan.

Dari kiri: Che N Intan, Marzita dan Amar Affizi

Penggunaan MyKad mudah, cepat

Sementara itu, seorang pengguna, Che N Intan Zainol, 52, berkata, kaedah berkenaan dilihat lebih adil dan memudahkan berbanding kaedah sedia ada.

"Kalau guna MyKad sahaja di pam minyak, tidak perlu menunggu untuk menerima bantuan dalam bentuk tunai secara bulanan yang dikreditkan ke dalam akaun.

"Saya menggunakan kenderaan jenis Toyota Hilux sejak 2015 dan anggaran penggunaan diesel mencecah sekitar RM600 sebulan, malah boleh mencapai RM1,000 bergantung kepada keperluan," katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pengguna, Marzita Hassan, 46, berpandangan bantuan secara terus ke akaun lebih sesuai berbanding penggunaan MyKad bagi pembelian diesel.

Menurutnya, mekanisme menggunakan MyKad dikhuatiri membuka ruang kepada ketirisan selain menimbulkan persoalan mengenai jumlah kelayakan yang diberikan.

"Saya lebih setuju bantuan disalurkan terus ke akaun kerana lebih telus dan pengguna boleh menentukan sendiri perbelanjaan bahan api," katanya.

Marzita yang merupakan ibu tunggal berkata, kenaikan harga diesel memberi kesan ketara kepada perbelanjaan bulanannya kerana kenderaan itu digunakan untuk urusan harian dan perniagaan kecil.

Infografik

"Saya menggunakan Isuzu D-Max sejak 2014 untuk menghantar anak ke sekolah dan menguruskan perniagaan katering ais krim, dengan anggaran penggunaan diesel sekitar RM500 sebulan.

"Kos bahan api yang meningkat turut memberi kesan rantaian kepada harga barangan lain memandangkan sektor logistik, pertanian dan perikanan turut bergantung pada diesel.

"Apabila harga diesel naik, semua sektor turut terkesan termasuk harga barangan keperluan. Jadi, saya harap kerajaan mengambil kira beban rakyat terutama golongan yang bekerja sendiri," katanya.

Sementara itu, peniaga santan, Amar Affizi Aziz, 42, berkata, mekanisme pengagihan subsidi diesel menggunakan MyKad dilihat lebih proaktif selain memudahkan pengguna.

Bagaimanapun, beliau berharap harga bahan api itu dapat diturunkan kepada bawah RM2 seliter sekali gus mengurangkan beban mereka yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda dalam urusan harian dan pekerjaan.