SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah mendakwa terdapat 32,546 pelajar dari China sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini.
Beliau mendakwa, angka tersebut mewakili kumpulan pelajar antarabangsa terbesar berbanding jumlah keseluruhan 56,565 orang yang ditempatkan di 20 universiti awam.
"Anak kita yang berada di universiti awam sekitar 634,706 orang dan 56,565 adalah pelajar asing, kalau dibahagikan kepada 20 IPTA, jumlah itu mewakili lebih kurang lapan peratus sahaja.
Exco Kerajaan Kedah itu berkata, berdasarkan data yang diperoleh, 72 peratus iaitu 41,097 daripada 56,656 pelajar asing berkenaan berada di universiti terbaik negara seperti Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Haim Hilman berkata, perkara yang dibangkitkan itu bukan mempertikaikan kehadiran pelajar antarabangsa, sebaliknya mempersoalkan pengagihan tempat yang sepatutnya memberi keutamaan kepada anak tempatan.
"Bukan kita nak lawan orang China dari tanah besar tetapi mengapa begitu banyak tempat diberikan? Mengapa tidak diberikan kepada anak Pak Man di kampung, anak Ah Chong di Johor Bahru atau anak Muthusamy yang tinggal di Selayang? Contoh," katanya.
Dakwanya lagi, kekangan tempat di universiti awam menyebabkan pelajar tempatan khususnya daripada keluarga kurang berkemampuan tidak berpeluang mengikuti program pengajian.
"Sampai bila anak-anak miskin ini terus terbiar dan tertinggal?
"Ada 1.65 juta anak Melayu khususnya ada ijazah terpaksa kerja yang tidak setara dengan kelayakannya dan bekerja bekerja dalam ekonomi gig," ujarnya lagi.