Berehatlah Hafeez... sakit itu sudah tiada lagi

Iklan
Hafeez Al-Bukhary Zulkefly.

ADA insan yang hadir dalam hidup kita hanya beberapa jam, namun, kenangannya kekal bertahun.

Ada juga yang tidak pernah kita kenali secara dekat, tetapi saat pemergiannya, hati terasa seolah-olah kehilangan seorang sahabat lama.

Iklan
Iklan

Demikianlah kisah Hafeez Al-Bukhary Zulkefly.

Tatkala berita mengenai keadaan beliau yang tenat akibat kanser kolon mula tersebar, seluruh negara seakan-akan berhenti sejenak.

Iklan

Hafeez Al Bukhary dilaporkan meninggal dunia pada Khamis.

Media sosial dipenuhi dengan doa. Ribuan tangan menadah harapan.

Iklan

Nama Hafeez disebut dalam munajat yang mungkin tidak pernah diketahui jumlahnya.

Tidak kira mengenalinya secara peribadi atau sekadar pernah melihat wajahnya di alam maya, rakyat Malaysia berkongsi satu perasaan yang sama – mereka mahu Hafeez kembali sihat.

Pada Ogos tahun lalu, Hafeez memaklumkan beliau disahkan menghidap kanser kolon atau kanser usus tahap empat menerusi satu perkongsian di Instagram.

Akhirnya, Hafeez yang begitu disenangi ramai itu dijemput pulang oleh Sang Pencipta.

Pemergian Hafeez bukan sekadar kehilangan buat keluarga dan sahabat terdekat.

Ia turut dirasai ribuan insan yang pernah disentuh dengan kebaikan akhlaknya, kelembutan tutur katanya dan keikhlasan khidmatnya di awan biru.

ARTIKEL BERKAITAN: Pramugara popular Hafeez Al Bukhary meninggal dunia

Pramugara popular santuni jemaah haji, Hafeez Al Bukhary dilapor kritikal

Sebagai seorang pramugara yang membawa jemaah umrah dan haji menuju Tanah Suci, Hafeez sebenarnya melakukan pekerjaan yang jauh lebih besar nilainya daripada sekadar sebuah kerjaya.

Hafeez meraih perhatian ramai menerusi kandungan berkaitan kerjayanya sebagai pramugara, termasuk perkongsian pengalaman mengendalikan penumpang dan jemaah haji sepanjang penerbangan.

Tidak semua orang mampu melaksanakan tugas itu dengan hati yang tulus.

Tetapi Hafeez melakukannya.

Allahyarham melakukannya bukan kerana arahan kerja atau kerana gaji – jauh sekali kerana pujian.

Pada Ogos tahun lalu, Hafeez memaklumkan beliau disahkan menghidap kanser kolon atau kanser usus tahap empat menerusi satu perkongsian di Instagram.

Sebaliknya, semua itu adalah memang sifat dirinya.

Maka tidak hairanlah ramai jemaah, khususnya golongan warga emas yang pernah dibantunya, begitu menyayanginya.

Di mata mereka, Hafeez bukan sekadar seorang kru kabin - dia seperti anak sendiri.

Seorang anak yang tidak pernah jemu bertanya khabar. Seorang anak yang ringan tangan membantu mengangkat beg. Seorang anak yang sentiasa mengukir senyuman walaupun mungkin dirinya sendiri sedang bergelut dengan keletihan.

Barangkali itulah sebabnya ketika beliau bertarung dengan penyakit, begitu ramai yang bersedih.

Kerana manusia tidak menangisi rupa paras dan tidak menangisi populariti, tetapi menangisi kebaikan.

Dan Hafeez meninggalkan terlalu banyak kebaikan untuk dilupakan.

Pramugara Malaysia Airlines yang tular di media sosial, Hafeez Al Bukhary Zulkefly dilaporkan meninggal dunia pada Khamis selepas sebelum ini dikongsikan berada dalam keadaan kritikal.

Kisah Hafeez sebenarnya mengajar satu realiti kehidupan yang sering kita abaikan.

Bahawa akhirnya, bukan jawatan yang membuatkan seseorang dikenang, bukan juga kekayaan atau kemewahan.

Yang kekal hidup dalam ingatan manusia ialah budi pekerti.

Akhlak yang baik adalah warisan paling mahal yang boleh ditinggalkan.

Malah ada ketikanya, ia lebih panjang usianya daripada hayat pemiliknya sendiri.

Saya sendiri menjadi saksi kepada hakikat itu.

Dalam satu perjalanan umrah sekitar Julai 2024, saya berpeluang menerima layanan daripada arwah Hafeez.

Pertemuan itu tidak lama, tidak cukup panjang untuk membolehkan kami menjadi sahabat.

Bahkan, tidak cukup juga untuk saya mengenali seluruh kisah hidupnya.

Namun ada manusia yang hanya memerlukan beberapa minit untuk meninggalkan kesan seumur hidup.

Hafeez adalah salah seorang daripadanya. Beliau sentiasa berbudi bahasa, tidak lokek menawarkan bantuan dan sentiasa bercakap dengan sopan.

Dan yang paling saya ingat, beliau tidak pernah lekang daripada senyuman - senyuman yang menenangkan, senyuman yang membuatkan orang berasa dihargai dan senyuman yang lahir daripada hati yang baik.

Hari ini, apabila wajahnya kembali terlintas di fikiran, saya sedar bahawa memori itu akan kekal bersama saya sampai bila-bila.

Barangkali, saya terlupa banyak perkara sepanjang hidup ini.

Namun air muka yang tenang itu, serta layanan ikhlas yang pernah diberikan, akan sentiasa saya simpan dalam lipatan kenangan.

Begitulah hebatnya nilai sebuah adab. Ia mampu hidup lebih lama daripada jasad.

Dan hari ini, ketika kita semua mengucapkan selamat tinggal, rasa sedih itu bukan hanya kerana seorang pramugara telah pergi.

Kita bersedih kerana seorang insan yang baik telah meninggalkan dunia.

Seorang anak muda yang membuktikan bahawa kelembutan hati masih mempunyai tempat dalam masyarakat yang semakin sibuk dan keras.

Seorang insan yang mengajarkan bahawa melayani manusia dengan kasih sayang bukan perkara kecil di sisi Tuhan.

Kini perjuangannya telah berakhir. Tiada lagi kesakitan yang perlu ditanggung.

Tiada lagi malam yang panjang di wad. Tiada lagi pertarungan yang melelahkan tubuh dan jiwa.

Yang tinggal hanyalah doa-doa yang tidak pernah putus daripada mereka yang menyayangimu.

Dan percayalah, selama mana orang masih menyebut namamu dengan kasih, selama itulah kebaikanmu akan terus hidup.

Al-Fatihah buat Hafeez Al-Bukhary Zulkefly.

Semoga ALLAH SWT menempatkanmu dalam kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan mengurniakan ganjaran terbaik atas segala kebaikan yang pernah kamu taburkan sepanjang hayatmu.

Aamin, amin, ya rabbal alamin! - Awani