REMBAU - Polis sedang memburu seorang lelaki yang melarikan diri selepas dipercayai memandu secara melulu dan melawan arus, sebelum melanggar dua kenderaan lain ketika cuba mengelak daripada ditahan polis di Kilometer 242 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara, awal pagi Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian itu berlaku, selepas polis mengarahkan pemandu berusia 30 tahun itu berhenti susulan semakan mendapati cukai jalan dan insurans kenderaan jenis Volkswagen Passat telah tamat tempoh.
Beliau berkata, bagaimanapun lelaki itu tidak berhenti dan bertindak memecut dengan memandu dalam keadaan merbahaya secara zig-zag sebelum melawan arus.
"Lelaki itu kemudian melanggar sebuah Proton Saga dan Toyota Yaris sebelum meninggalkan kenderaannya di tepi lebuh raya dan melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran.
"Siasatan lanjut dalam kereta tersebut menemukan dompet dipercayai milik lelaki tersebut yang berasal daripada Selangor, tidak memiliki lesen memandu dan mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya kepada Bernama di sini.
Azmi berkata, gerakan mengesan dan memburu lelaki tersebut sedang giat dilakukan termasuk bantuan unit anjing pengesan dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Norhisham Mustapar berkata, seorang penunggang motosikal lelaki berusia 44 tahun maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta jenis Proton Wira, dalam kejadian langgar lari di Jalan Ladang Kok Foh, Jempol pada 24 Jun lepas.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa mengalami patah kaki kanan selepas pemandu kereta terbabit dipercayai melarikan diri.
Beliau berkata, hasil risikan, polis mengesan dan menahan seorang lelaki warga Pakistan berusia 32 tahun di kawasan Felda Palong 10 pada 26 Jun kira-kira 12 tengah hari, serta merampas sebuah Proton Wira yang dipercayai terlibat dalam kejadian bagi membantu siasatan.
Suspek kemudian direman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Bahau pada 30 Jun mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 selepas siasatan selesai. - Bernama