MFTF 2026 tawar pelbagai pakej eksklusif, himpun 53 syarikat pelancongan berlesen

Iklan
Mohd Hizzat (kiri), Dr Fazil Khan (dua dari kiri) bersama Mohammad Faisal (dua dari kanan) pada sidang media bersempena MFTF 2026 di WTCKL pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

KUALA LUMPUR - Orang ramai khususnya mereka yang merancang percutian dalam dan luar negara berpeluang menikmati pelbagai tawaran eksklusif dan pakej pelancongan mesra Muslim pada harga istimewa daripada syarikat pelancongan berlesen menerusi MATTA Muslim Friendly Travel Fair (MFTF) 2026 bermula Sabtu.

Timbalan Pengerusi Penganjur MFTF 2026, Dr Fazil Khan Abdul Kadir berkata, pameran berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) selama dua hari itu menghimpunkan 122 gerai daripada 53 syarikat pelancongan termasuk ejen pelancongan berlesen dan rakan industri di bawah satu bumbung.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengunjung berpeluang menerokai pelbagai pilihan destinasi, produk dan perkhidmatan pelancongan mesra Muslim menarik, selain menikmati tawaran eksklusif disediakan peserta pameran.

"Yang penting, semua syarikat yang menyertai mempunyai lesen dan lesen itu dipamerkan di setiap gerai supaya orang ramai lebih yakin membuat tempahan.

Iklan

"Kita tidak mahu berlaku penipuan dalam industri pelancongan. Sebab itu MFTF memberi penekanan kepada penyedia perkhidmatan yang berlesen dan diyakini," katanya pada sidang media MFTF 2026 di WTCKL pada Sabtu.

King Sing (tengah) menyempurnakan Majlis perasmian MFTF 2026 di WTCKL pada Sabtu. FOTO SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Iklan

Sebelum itu, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) dan Pusat Pelancongan Islam (ITC) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh ekosistem Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) di Malaysia.

Majlis pemeteraian disaksikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, manakala dokumen itu ditandatangani Ketua Pengarah ITC, Mohammad Faisal Abu Suaib Khan dan Presiden MATTA, Nigel Wong.

Dr Fazil Khan berkata, Malaysia mempunyai kelebihan sebagai antara destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka dunia dan MFTF menjadi platform memperkukuh kedudukan negara selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

Sementara itu, Mohammad Faisal berkata, penganjuran MFTF bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan pakej pelancongan pada harga menarik, malah membantu mengurangkan risiko penipuan.

"Di MFTF, syarikat yang mengambil bahagian telah disahkan dan orang ramai boleh berurusan secara terus dengan penyedia perkhidmatan," kongsinya.

Justeru, beliau turut menggesa orang ramai memanfaatkan peluang menghadiri MFTF kerana pelbagai promosi hanya ditawarkan sepanjang pameran berlangsung.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MATTA, Mohd Hizzat Mohd Shah berkata, RHB Bank selaku penaja platinum eksklusif MFTF 2026 turut menawarkan pelbagai kemudahan kewangan termasuk pelan ansuran sifar peratus dan kad debit pelbagai mata wang bagi memudahkan urusan pembelian pakej pelancongan.

Beliau berkata, MFTF 2026 turut mengalu-alukan penyertaan Macau yang berada di kedudukan ke-16 berdasarkan Global Muslim Travel Index (GMTI) sebagai penaja yang mencerminkan potensi besar pasaran pelancongan mesra Muslim di peringkat antarabangsa.

Tambahnya, MATTA turut memperkenalkan inisiatif MATTA Trust bagi meningkatkan keyakinan pengguna untuk mendapatkan perkhidmatan daripada penyedia pelancongan yang berlesen dan diyakini.

"Secara keseluruhannya, MFTF menghimpunkan agensi kerajaan, pemain industri dan rakan destinasi antarabangsa dengan matlamat yang sama iaitu mewujudkan lebih banyak peluang kepada ahli-ahli MATTA serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju pelancongan mesra Muslim," katanya.

Untuk mendapatkan maklumat terkini, orang ramai boleh mengikuti akaun Instagram, X dan TikTok @matta_mftf dan laman Facebook rasmi MATTA Muslim Friendly Travel Fair.