SHAH ALAM – Cadangan Pakatan Harapan (PH) untuk mengurangkan sehingga 50 peratus masa menunggu di pintu sempadan Johor-Singapura berpotensi menjadi antara inisiatif yang mampu memberi impak ekonomi paling cepat kepada negeri itu sekiranya dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, langkah itu bukan sahaja dapat meningkatkan produktiviti pekerja yang berulang-alik antara Johor dan Singapura setiap hari, malah turut mengurangkan kos logistik, mempercepatkan perdagangan rentas sempadan serta meningkatkan keyakinan pelabur.
Menurutnya, dalam ekonomi moden, masa juga merupakan satu bentuk kos dan setiap jam yang dapat dijimatkan akan menyumbang kepada peningkatan kecekapan ekonomi secara keseluruhan.
"Antaranya produktiviti pekerja meningkat, kos logistik menurun, perdagangan rentas sempadan menjadi lebih cekap, pelabur lebih yakin, sektor pelancongan berkembang serta tekanan psikologi dan kos masa yang ditanggung rakyat dapat dikurangkan," katanya ketika mengulas manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Bagaimanapun, beliau berkata, sasaran itu memerlukan kerjasama erat antara kerajaan Malaysia dan Singapura termasuk penambahbaikan sistem imigresen, penggunaan teknologi digital dan penyelarasan operasi di pintu masuk kedua-dua negara.
Mengulas keseluruhan manifesto tersebut, Barjoyai berkata, ia boleh disifatkan sebagai manifesto yang berorientasikan pertumbuhan ekonomi kerana cuba mengimbangi dua matlamat utama iaitu memperkukuhkan daya saing ekonomi Johor dan memastikan manfaat pertumbuhan itu turut dinikmati rakyat.
Menurutnya, kejayaan manifesto itu bagaimanapun tidak bergantung kepada kekuatan slogan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keupayaan kerajaan menterjemahkan setiap janji kepada dasar yang boleh dilaksanakan serta disokong sumber kewangan yang mencukupi.
Beliau turut menyifatkan aspirasi menjadikan Johor sebagai 'Shenzhen Asia Tenggara' sebagai satu matlamat yang menarik memandangkan negeri itu mempunyai beberapa kelebihan seperti kedudukannya yang bersebelahan Singapura, kewujudan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa serta sektor elektronik, logistik, pusat data dan pembuatan yang semakin berkembang.
Namun jelas beliau, kejayaan Shenzhen bukan berlaku dalam tempoh singkat kerana ia disokong pelaburan besar dalam infrastruktur, pembangunan modal insan, dasar mesra pelabur, penyelidikan, inovasi serta kerjasama erat antara universiti, industri dan kerajaan.
"Johor mempunyai asas yang baik, namun transformasi struktur ekonomi seperti ini memerlukan masa bertahun-tahun dan bukan sesuatu yang boleh dicapai hanya dalam satu penggal pentadbiran," ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berpandangan usaha membina ekonomi Johor berasaskan kekuatan sendiri merupakan pendekatan yang positif memandangkan negeri itu tidak boleh terus bergantung kepada limpahan pertumbuhan ekonomi Singapura.
Sebaliknya, beliau berkata, Johor perlu memperkukuhkan syarikat tempatan, memperluaskan ekonomi digital, membangunkan industri hiliran serta memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) supaya mampu menjadi pembekal kepada syarikat multinasional.
Barjoyai turut melihat penekanan manifesto terhadap kebajikan rakyat, pendidikan, perumahan dan pembangunan belia sebagai pelaburan terhadap modal insan yang mampu meningkatkan produktiviti serta pendapatan rakyat dalam jangka panjang.
Mengulas matlamat menjadikan Johor sebagai kuasa ekonomi sendiri, beliau berkata, negeri itu mempunyai hampir semua prasyarat untuk muncul antara ekonomi paling berdaya saing di Malaysia, termasuk lokasi strategik, populasi yang besar, pelabuhan bertaraf dunia, lapangan terbang antarabangsa, jaringan lebuh raya dan JS-SEZ.
Menurutnya, cabaran sebenar adalah meningkatkan nilai tambah ekonomi dengan menarik industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, teknologi hijau, bioteknologi, pusat data dan ekonomi digital.
"Secara keseluruhannya, manifesto ini mempunyai hala tuju ekonomi yang jelas. Namun kejayaannya bergantung kepada tiga perkara utama iaitu keupayaan pelaksanaan, sumber kewangan yang mampan dan petunjuk prestasi (KPI) yang jelas serta boleh diukur.
"Jika dilaksanakan secara konsisten dan berkesan, manifesto ini berpotensi meningkatkan produktiviti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, menaikkan pendapatan rakyat serta memperkukuh kesejahteraan negeri Johor secara menyeluruh," kata beliau.