Rumah Ngaji Kelantan perkasa gerakan tadabbur, lahir generasi cintakan al-Quran

Iklan
Majlis Aspirasi Menghargai Ahli Jawatankuasa Rumah Ngaji dan Pentadabbur Munajat Pagi di Kelab Golf Negeri Kelantan.

KOTA BHARU – Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) terus memperkukuh usaha menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran apabila lebih ramai masyarakat menjadikan kitab suci itu sebagai panduan hidup menerusi pelbagai program tadabbur serta Munajat Pagi yang dilaksanakan secara istiqamah sejak tahun 2020.

Pengerusinya, Datuk Adnan Hashim berkata, komitmen itu diteruskan menerusi penganjuran Majlis Aspirasi Menghargai Ahli Jawatankuasa Rumah Ngaji dan Pentadabbur Munajat Pagi berlangsung di Kelab Golf Negeri Kelantan di sini.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ia sebagai tanda penghargaan kepada individu yang menjadi tulang belakang perjuangan persatuan.

Ujarnya, majlis berkenaan bukan sekadar menghargai jasa dan pengorbanan ahli jawatankuasa serta pentadabbur, malah menjadi platform memperkukuh ukhuwah, semangat kerjasama serta budaya saling menghargai dalam kalangan warga Rumah Ngaji.

Iklan

"Program ini juga diharap menjadi inspirasi untuk meneruskan usaha menyebarkan kefahaman al-Quran melalui tadabbur serta menyemarakkan budaya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata, PRNNK bertuah kerana mendapat bimbingan tiga tokoh ilmuwan yang dilantik sebagai penasihat iaitu Datuk Dr Azhar Mohammad, Dr Abdullah Sudin Abd Rahman dan Nik Mat Nik Lid.

Iklan

Menurutnya, selain itu, PRNNK turut menerima komitmen padu daripada kira-kira 30 ahli jawatankuasa dan pentadabbur dalam menjayakan misi menjadikan al-Quran sebagai panduan kepada masyarakat menerusi konsep baca, faham serta amal.

Adnan berkata, setiap program yang berjaya dilaksanakan adalah hasil pengorbanan ahli jawatankuasa yang sanggup menyumbang tenaga, masa serta buah fikiran demi memastikan manfaatnya dapat dirasai masyarakat.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pentadabbur Munajat Pagi yang istiqamah berkongsi tadabbur serta menyampaikan peringatan untuk mendekatkan masyarakat kepada ALLAH SWT melalui al-Quran.

"Setiap usaha yang dilakukan dengan niat ikhlas tidak akan sia-sia di sisi ALLAH SWT. Diharapkan penghargaan ini menjadi pemangkin untuk terus berkhidmat, memperkukuh ukhuwah dan melahirkan lebih ramai pencinta al-Quran yang bukan sekadar membaca, tetapi memahami, mentadabbur serta mengamalkan ajarannya," katanya.

Beliau berharap majlis aspirasi itu menjadi titik tolak kepada semangat baharu dalam memperkasa gerakan Rumah Ngaji dan Munajat Pagi di negeri ini.

Katanya, orang ramai yang berminat menyertai PRNNK dialu-alukan menjadi ahli bagi bersama-sama memperluaskan lagi gerakan dakwah dan kefahaman al-Quran dalam masyarakat.

Menurut beliau, Rumah Ngaji perlu terus menjadi medan melahirkan generasi yang menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, selain memperkukuhkan semangat kesukarelawanan serta jaringan ukhuwah antara ahli jawatankuasa, pentadabbur dan peserta.