KUANTAN – DAP Pahang menyifatkan kenyataan Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib yang mencadangkan supaya Kampung Baru Cina di seluruh negara disusun semula atas alasan mempunyai kaitan dengan komunis baru-baru ini hanya bertujuan menimbulkan ketakutan dalam kalangan pengundi Melayu.
Pengerusinya, Lee Chin Chen percaya, Ahli Parlimen dari Pas itu mengetahui latar belakang sejarah tersebut, namun sengaja mengaitkan Kampung Baru Cina dengan komunis seterusnya mereka cuba kaitkannya dengan DAP.
Iklan
Iklan
"Dengan naratif seperti ini, mereka mahu menakutkan pengundi Melayu dan sasaran mereka pada masa depan mungkin untuk menghapuskan Kampung Baru Cina," dakwanya.
Dakwaan Chin Chen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Bilut itu dipetik melalui rakaman video reel 'Santai Bersama Chin Chen' yang dikongsi di akaun Facebooknya.
Menurutnya, tindakan mengaitkan Kampung Baru Cina dengan komunis sudah tidak relevan dalam suasana negara yang telah merdeka selama enam dekad ini.
"Hari ini, semua Kampung Baru Cina sudah menjadi sebahagian daripada tanah air kita dan menjadi memori serta warisan masyarakat Cina di negara ini," katanya.
Justeru beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang meminta semua pihak berhenti melihat Kampung Baru Cina melalui perspektif zaman penjajahan British dan konflik komunis kerana perkara itu sudah menjadi sejarah.