KUALA SELANGOR – Taktik sebuah premis kitar semula beroperasi tanpa lesen sehingga mencetuskan kacau ganggu kepada penduduk di Ijok berakhir apabila diserbu pihak berkuasa dalam operasi bersepadu pada Rabu.
Serbuan kira-kira jam 9 pagi itu dijalankan hasil risikan selepas premis berkenaan dipercayai beroperasi secara haram sejak enam bulan lalu.
Operasi itu dijalankan oleh Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta beberapa agensi kerajaan lain.
Pengarah Jabatan Penguat Kuasa MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, pemeriksaan selama kira-kira empat jam membawa kepada arahan penutupan premis itu yang berkuat kuasa serta-merta.
"Beberapa notis penguatkuasaan dikeluarkan termasuk bagi menghapuskan kacau ganggu, mengalihkan halangan serta tindakan terhadap pembinaan bangunan tanpa kelulusan bertulis daripada pihak majlis," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mohamad Lutfi menjelaskan, kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan gagal membersihkan bangunan dan meletakkan longgokan guni berisi plastik di tempat awam, selain pelbagai peralatan yang digunakan di premis berkenaan turut disita.
Menurutnya, antara barangan yang disita ialah sebuah kipas, penimbang berat digital, tukul dan troli yang dipercayai digunakan dalam operasi premis terbabit.
Katanya, tindakan penguatkuasaan diambil mengikut Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007.
Beliau menegaskan bahawa MPKS tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang menjalankan aktiviti tanpa lesen atau melanggar undang-undang sehingga menjejaskan kesejahteraan dan keselamatan penduduk setempat.