Isu godam aplikasi parkir: Selangor digesa bentang laporan penuh - Chean Chung

Iklan
Chean Chung menggesa kerajaan Selangor membentangkan laporan siasatan menyeluruh berhubung insiden penggodaman aplikasi Flexi Parking dan sistem Smart Selangor Parking.

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor digesa membentangkan laporan siasatan menyeluruh berhubung insiden penggodaman aplikasi Flexi Parking dan sistem Smart Selangor Parking.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, insiden itu bukan sekadar membabitkan kehilangan hasil kutipan parkir, sebaliknya lebih membimbangkan kerana berpotensi menjejaskan keselamatan data peribadi pengguna.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihak berkuasa bertanggungjawab perlu memberi penjelasan penuh kepada orang ramai mengenai punca kejadian, tahap kebocoran data yang berlaku serta langkah yang diambil bagi melindungi pengguna terjejas.

"Jika benar, ia menunjukkan kelemahan serius dari segi tadbir urus dan pengurusan risiko," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Chean Chung menegaskan, sekiranya tiada laporan siasatan didedahkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor perlu memohon supaya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) mengadakan pendengaran awam bagi menyiasat insiden berkenaan.

"Keselamatan siber bukan sekadar isu teknologi maklumat, tetapi membabitkan kepercayaan awam, tadbir urus dan akauntabiliti.

Iklan

"Apabila rakyat percaya maklumat peribadi serta urusan harian mereka kepada sistem digital berkaitan kerajaan, sewajarnya kerajaan bertanggungjawab memastikan kepercayaan itu sentiasa dipelihara," ujar beliau.

Beliau turut mempersoalkan terdapat kelemahan aplikasi itu hingga gagal ditangani lebih awal.

"Data apa yang mungkin terdedah? Siapa yang akan dipertanggungjawabkan? Adakah pengendali sistem akan menanggung sebarang kerugian kewangan akibat insiden ini?" soal beliau.

Chean Chung memberitahu, beliau sebelum ini secara konsisten membangkitkan kebimbangan terhadap penswastaan infrastruktur digital awam dan pada Julai tahun lalu menggesa supaya Program Selangor Intelligent Parking (SIP) digantung serta-merta bagi membolehkan semakan menyeluruh terhadap dasar serta kerangka pelaksanaannya dilakukan.

Katanya, di bawah model SIP, separuh daripada hasil kutipan parkir disalurkan kepada syarikat konsesi swasta, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri hanya menerima baki 50 peratus.

Beliau berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada PBT masih mempunyai keupayaan mencukupi untuk mengawasi aspek keselamatan siber, standard operasi, prestasi vendor dan akauntabiliti kepada rakyat.

Menurutnya, penubuhan GovTech oleh Kerajaan Persekutuan bertujuan memperkukuh keupayaan digital dalaman kerajaan, mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar serta memastikan infrastruktur digital awam yang kritikal dibangunkan dan diuruskan oleh sektor awam sendiri.

"Namun Selangor masih meneruskan model SIP melalui kerjasama dengan pengendali swasta yang mengurus dan mengendalikan sistem parkir utama.

"Pendekatan ini bertentangan dengan usaha membina keupayaan digital sektor awam yang mampan dan berdaya tahan," tambah beliau.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan, gangguan sistem aplikasi Smart Selangor dan Flexi Parking yang menjejaskan urusan pembayaran parkir di Selangor dan Kuala Lumpur sejak Selasa didakwa berpunca daripada insiden penggodaman.

Portal teknologi Amanz.my melaporkan, laman Gotchaa Lab mendedahkan sistem yang digunakan kedua-dua aplikasi itu dipercayai telah digodam selepas mengeksploit dua kelemahan pada sistem digunakan.