Penganggur dicekup bawa beg silang berisi dadah

Iklan
Gambar suspek dan barangan yang dirampas selepas dicekup polis di Kampung Banggol Donas Manir, Kuala Terengganu pada Khamis.

​KUALA TERENGGANU – Perbuatan seorang penganggur membawa beg silang bercorak daun ke mana-mana akhirnya membongkar taktiknya menyembunyikan pelbagai jenis dadah bernilai RM2,802.65 selepas dicekup polis di Kampung Banggol Donas Manir, di sini pada Khamis.

​Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di hadapan sebuah rumah oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Kuala Terengganu kira-kira jam 6.45 petang.

Iklan
Iklan

​Menurut beliau, hasil pemeriksaan fizikal ke atas tubuh badan suspek mendapati lelaki itu sedang memakai sebuah beg silang.

"​Pemeriksaan lanjut di dalam beg silang berkenaan kemudiannya telah membawa kepada penemuan empat botol plastik cerah bertudung kuning dan dipasang pita pelekat hitam berisi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin seberat 17.65 gram.

Iklan

"​Turut ditemui di dalam beg sama adalah enam tiub straw warna hijau cerah berisi biji-biji pil disyaki dadah jenis pil yaba seberat 7.43 gram serta satu peket plastik cerah berisi serbuk dan ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 5.33 gram," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

​Beliau berkata, hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan

"Semakan lanjut juga mendapati suspek yang tidak bekerja itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama pada tahun 2025.

"Ketika siasatan awal, suspek telah membuat pengakuan bahawa kesemua barang larangan yang dirampas pihak polis itu adalah milik dirinya," ujar beliau.

Azli berkata, ​kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek dibawa ke Mahkamah Majistret pada Jumaat bagi permohonan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.