PUTRAJAYA – Industri sawit negara memperoleh kelebihan baharu untuk terus menembusi pasaran Eropah selepas Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diterima oleh Netherlands Food and Consumer Product Safety Authority (NVWA) sebagai Private Control System di bawah kerangka pelaksanaan European Union Deforestation Regulation (EUDR).
Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, pengiktirafan itu membolehkan penghantaran minyak sawit Malaysia yang memiliki pensijilan MSPO dipertimbangkan di bawah prosedur penyeliaan yang bersesuaian oleh NVWA, tertakluk kepada keperluan ditetapkan di bawah EUDR.
Menurutnya, melalui penilaian yang dilaksanakan, MSPO diterima sebagai sistem jaminan pihak ketiga yang boleh menyokong penyeliaan berkaitan pematuhan EUDR.
"Perkara ini memperkukuh kedudukan MSPO sebagai standard nasional yang mempunyai struktur pensijilan, audit dan kawal selia yang tersusun," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, pengiktirafan itu amat signifikan memandangkan Belanda merupakan antara pintu masuk utama minyak sawit ke pasaran Eropah menerusi Pelabuhan Rotterdam yang menjadi hab perdagangan komoditi pertanian di rantau berkenaan.
"Belanda mempunyai kedudukan penting dalam perdagangan minyak sawit ke pasaran Eropah, khususnya melalui Rotterdam sebagai antara pintu masuk utama komoditi pertanian ke rantau berkenaan.
"Perkara ini juga tepat pada masanya memandangkan EUDR akan mula dikuatkuasakan kepada operator besar dan sederhana pada 30 Disember depan, diikuti operator kecil pada Jun 2027," jelas Noraini.
Sehubungan itu, KPK akan terus memperkukuh pelaksanaan MSPO bersama agensi berkaitan, badan pensijilan, juruaudit, pemain industri serta rakan strategik antarabangsa.
"Tumpuan akan diberikan kepada aspek pematuhan, audit, kebolehkesanan serta bimbingan kepada pekebun kecil dan pemain industri bagi menyokong kesiapsiagaan sektor sawit negara terhadap pelaksanaan EUDR," katanya.