ABIM gesa kerajaan subsidi caruman awal SKBBK untuk B40, M40

Iklan
Ahmad Fahmi

PUTRAJAYA – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa kerajaan menyediakan subsidi atau padanan caruman bagi tempoh awal pelaksanaan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK), khususnya kepada golongan B40, M40 berpendapatan rendah, pekerja ekonomi gig, pekerja kontrak serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, langkah itu penting bagi memastikan usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara tidak akhirnya menambah beban kewangan kepada pekerja dan majikan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan berkenaan bukan sesuatu yang baharu memandangkan kerajaan sebelum ini turut menyediakan bantuan caruman bagi Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri bagi menggalakkan penyertaan dan mengurangkan beban pencarum.

“Perlindungan sosial yang adil bukan sekadar memperluas liputan perlindungan, tetapi memastikan tiada rakyat yang semakin terbeban untuk memperoleh perlindungan tersebut.

Iklan

“Reformasi yang baik ialah reformasi yang melindungi rakyat daripada risiko kehidupan tanpa menambahkan beban kehidupan mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

ABIM berkata, pihaknya menyokong usaha memperkukuh jaringan perlindungan sosial negara kerana selaras dengan tuntutan memelihara nyawa, maruah dan kesejahteraan hidup seperti yang digariskan dalam Maqasid Syariah.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan SKBBK perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat ketika kos sara hidup, pendapatan boleh guna isi rumah dan kos operasi perusahaan masih berdepan tekanan.

"Dalam keadaan kos sara hidup yang masih mencabar, pendapatan boleh guna isi rumah yang semakin tertekan serta peningkatan kos operasi perusahaan, pelaksanaan SKBBK perlu mengambil kira kemampuan sebenar rakyat.

"Matlamat yang baik tidak seharusnya dicapai melalui pendekatan yang akhirnya menambah beban kewangan kepada pekerja dan majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana," jelasnya.

Selain subsidi atau padanan caruman, Ahmad Fahmi turut mencadangkan supaya SKBBK dilaksanakan secara berperingkat mengikut kesiapsiagaan pekerja, majikan serta keadaan ekonomi semasa bagi mengelakkan kejutan kepada mana-mana pihak.

Pada masa sama, kerajaan disaran mewujudkan mekanisme semakan berkala yang telus bagi menilai keberkesanan pelaksanaan, kadar tuntutan manfaat, kemampanan dana serta kesannya terhadap kesejahteraan pekerja dan daya saing perusahaan.

"Hasil penilaian ini hendaklah diumumkan secara berkala bagi meningkatkan keyakinan awam terhadap sistem perlindungan sosial negara," ujarnya.

Menurut beliau, libat urus bersama pekerja, majikan, kesatuan sekerja, badan profesional, ahli akademik dan pertubuhan masyarakat madani perlu diperkasakan supaya setiap penambahbaikan dasar dibuat berasaskan pengalaman di lapangan serta data yang telus.

Selain itu, badan bukan kerajaan (NGO) itu mencadangkan kerajaan menjalankan kajian menyeluruh berhubung isu pertindihan perlindungan bagi pekerja yang telah dilindungi melalui skim takaful atau insurans kemalangan yang menawarkan manfaat setara.

"Kajian ini penting bagi memastikan pelaksanaan SKBBK benar benar memperluas perlindungan sosial tanpa mewujudkan beban kewangan yang tidak diperlukan kepada pekerja dan majikan.

"Sekiranya terdapat ruang untuk penyelarasan dasar pada masa hadapan, ia hendaklah dilaksanakan tanpa menjejaskan objektif utama SKBBK sebagai instrumen perlindungan sosial negara.

"ABIM percaya bahawa kekuatan sesuatu sistem perlindungan sosial bukan hanya diukur melalui keluasan liputannya, tetapi juga melalui keyakinan rakyat terhadap keadilan pelaksanaannya," katanya.

Tegas Ahmad Fahmi, perlindungan sosial yang mampan mestilah dibangunkan melalui semangat perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, majikan dan pekerja agar manfaatnya benar benar dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa membebankan mana mana pihak.