Cuba padam kebakaran rumah, lelaki melecur hampir 70 peratus

Iklan
Kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dua tingkat di Kampung Padang Perahu, Jitra pada Khamis. Foto JBPM

JITRA – Seorang lelaki melecur hampir 70 peratus selepas dipercayai cuba memadamkan kebakaran yang memusnahkan sebahagian besar rumahnya di Kampung Padang Perahu di sini pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.32 petang itu, mangsa mengalami kecederaan serius sebelum diberikan rawatan awal oleh pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Jitra menggunakan kenderaan EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan struktur rumah. Foto JBPM

Iklan

Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian 999 berhubung kebakaran sebuah rumah pada jam 6.32 petang.

Menurut kenyataan itu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra bersama beberapa jentera serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tunjang dan Kodiang segera digerakkan ke lokasi kejadian.

Iklan

“Setibanya di lokasi pada jam 6.44 petang, komander operasi mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas B dua tingkat berukuran kira-kira 9.1 x 12.2 meter.

“Kebakaran dianggarkan memusnahkan kira-kira 60 peratus daripada keseluruhan struktur rumah, manakala seorang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan melecur ketika cuba memadamkan kebakaran,” menurut kenyataan itu.

Operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran sepanjang kira-kira 30 meter dengan empat pancutan, manakala sumber air diperoleh daripada tangki jentera bomba dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela.

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.