Guan Eng, Tony pertahan rasionalisasi LRT3, dakwa jimat RM9.72 bilion

Iklan
Guan Eng dan Tony menjelaskan projek LRT3 tidak pernah dihentikan ketika pentadbiran PH serta mendakwa langkah rasionalisasi berjaya menjimatkan RM9.72 bilion kos keseluruhan projek.

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua tampil menjelaskan pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) ketika di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) berjaya menjimatkan kira-kira RM9.72 bilion kos projek.

Dalam kenyataan bersama, mereka berkata, projek LRT3 tidak pernah dihentikan, terbengkalai atau digantung semasa pentadbiran PH antara tahun 2018 hingga 2020.

Iklan
Iklan

"Kami dengan penuh hormat menghargai dan menjunjung kasih atas titah pandangan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung penyiapan projek LRT3, yang kini dinamakan Laluan LRT Shah Alam. Kami ingin dengan penuh hormat dan rendah diri menjelaskan beberapa perkara yang boleh disahkan dengan pihak Prasarana dan MRCB Bhd.

"Kami juga ingin menegaskan bahawa pentadbiran PH ketika itu menyokong sepenuhnya projek LRT3 dan menganggapnya sebagai projek kritikal dan penting untuk meningkatkan kualiti kehidupan harian penduduk Lembah Klang," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Menurut mereka, pada 2015, pentadbiran BN di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah meluluskan RM9 bilion untuk projek LRT3 dan memberikan Prasarana jaminan kerajaan berjumlah RM10 bilion bagi tujuan meraih dana projek.

Bagaimanapun mereka berkata, Prasarana telah menganugerahkan pelbagai Kontrak Pakej Kerja atau Work Package Contracts (WPC) berjumlah RM15.2 bilion pada Mac 2018, jauh melebihi peruntukan asal RM9 bilion yang telah diluluskan.

Iklan

"Setelah mengambil kira semua kos lain, termasuk tetapi tidak terhad kepada pengambilan tanah, yuran Project Delivery Partner (PDP) dan perunding, serta faedah yang akan ditanggung sepanjang tempoh pembinaan, Prasarana pada Mac 2018 telah mengemukakan cadangan belanjawan projek baharu sebanyak RM31.65 bilion serta permohonan tambahan jaminan kerajaan sebanyak RM22 bilion bagi mendapatkan pembiayaan projek tersebut," katanya.

Guan Eng dan Tony berkata, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, kerja-kerja projek diteruskan tanpa gangguan, sementara pentadbiran baharu bekerjasama rapat dengan Rakan Pelaksana Projek atau PDP yang telah dilantik, iaitu MRCB-George Kent, bagi merasionalisasikan kos projek.

Menurut mereka, memandangkan projek LRT3 pada ketika itu hanya siap sebanyak 9 peratus, kerajaan melantik perunding kejuruteraan bebas bagi meneliti dan mencadangkan langkah-langkah rasionalisasi demi memastikan akauntabiliti yang sewajarnya terhadap projek tersebut.

"Langkah ini adalah penting kerana terdapat banyak hutang luar kunci kira-kira yang 'tersembunyi' yang telah ditanggung semasa pentadbiran Najib. Ini adalah tambahan kepada puluhan bilion ringgit hutang yang ditanggung akibat skandal 1MDB bernilai RM50 bilion," kata mereka.

Menurut mereka, semakan tersebut menetapkan bahawa saiz dan skala projek mestilah memenuhi permintaan penumpang berdasarkan kajian trafik, serta perlu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Mereka menjelaskan, hasil semakan itu membawa kepada pengurangan kos projek sebanyak 47 peratus daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion, sekali gus menghasilkan penjimatan sebanyak RM15.02 bilion.

"Kami telah mengutamakan fungsi dan kepraktisan berbanding kemewahan dan kemegahan. Tiada keperluan untuk membina stesen bersaiz MRT bagi sebuah projek LRT," katanya.

Mereka berkata, antara langkah rasionalisasi yang dilaksanakan termasuk mengurangkan bilangan tren iaitu tempahan rolling stock dikurangkan daripada 42 set tren enam-gerabak kepada 22 set tren tiga-gerabak, selaras dengan kajian trafik penumpang sehingga tahun 2035 yang dijalankan oleh perunding bebas dan diluluskan oleh SPAD.

Selain itu, penangguhan pembinaan lima stesen LRT yang mempunyai unjuran penumpang awal yang rendah, sehingga permintaan masa hadapan mewajarkan pembinaannya, dengan peruntukan teknikal disediakan supaya kelima-lima stesen LRT tersebut boleh dibina pada masa hadapan.

"Kelima-lima stesen tersebut sejak itu telah dimasukkan semula selaras dengan perkembangan semasa. Kerajaan kini telah menganugerahkan kontrak fasa kedua sebanyak RM5.3 bilion untuk kelima-lima stesen ini, penambahan bilangan tren dan lain-lain penaiktarafan.

"Oleh itu, nilai projek telah meningkat daripada RM16.63 bilion kepada RM21.93 bilion. Jumlah ini masih RM9.72 bilion lebih rendah berbanding kos asal RM31.65 bilion yang diluluskan semasa pentadbiran Najib," kata mereka.

Mereka turut menjelaskan tarikh siap projek dilanjutkan daripada 2020 kepada 2024 kerana sasaran asal dianggap tidak realistik memandangkan kemajuan pembinaan ketika itu hanya sekitar sembilan peratus.

"Pelanjutan ini menghapuskan kos pecutan, iaitu bayaran premium kepada kontraktor untuk mempercepatkan kerja pembinaan," kata mereka.

Menurut mereka lagi, model PDP telah dimansuhkan yang mana di bawah model itu, kontraktor memperoleh bayaran berdasarkan peratusan daripada jumlah kos projek.

"Semakin tinggi kos projek, semakin tinggi yuran yang diterima. Model ini mewujudkan insentif songsang kepada PDP untuk meningkatkan nilai projek. Model PDP tersebut telah ditukar kepada Kontrak Harga Tetap, sekali gus memastikan tiada lebihan kos kepada kerajaan.

"Projek LRT3 kini telah berjaya disiapkan, dengan peningkatan dan penambahbaikan tambahan dilaksanakan, sekali gus membolehkan penjimatan kos projek awal melebihi RM9.72 bilion untuk pembayar cukai Malaysia, dengan harga akhir RM21.93 bilion berbanding harga asal RM31.65 bilion yang diluluskan.

"Hasil daripada beban hutang projek yang lebih rendah, kerajaan juga dijangka dapat menjimatkan sehingga RM10 bilion lagi dalam kos faedah sepanjang tempoh 25 hingga 30 tahun," katanya.

Dalam pada itu mereka turut menegaskan bahawa penjimatan kepada kerajaan Malaysia itu tidak dibuat dengan mengorbankan jumlah penumpang dan fungsi LRT.

Katanya, penjimatan itu sebaliknya membolehkan kerajaan semasa dan kerajaan pada masa hadapan memperuntukkan semula dana kepada manfaat kebajikan lain untuk rakyat serta perbelanjaan pembangunan.

"Kami ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan menjunjung kasih atas keprihatinan Tuanku terhadap projek LRT3, sebagaimana telah dizahirkan oleh Tuanku, memainkan peranan penting dalam mengurangkan kesesakan lalu lintas, memendekkan masa perjalanan, serta menjadi pemangkin ekonomi kepada pembangunan di Selangor," katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda tidak mahu lagi ada mana-mana pihak tertentu mengambil kesempatan mendakwa bahawa kejayaan pelaksanaan LRT3 adalah hasil usaha mereka semata-mata.

Baginda bertitah, pelaksanaan projek itu adalah hasil kesinambungan perancangan, komitmen serta kerjasama pelbagai pihak merentasi beberapa pentadbiran, demi kepentingan rakyat Selangor secara keseluruhan.

Baginda turut bertitah bahawa Lim Guan Eng dan Tony Pua ketika memegang tanggungjawab dalam pentadbiran kerajaan telah mengurangkan kos pelaburan projek berkenaan atas alasan ia sebuah projek mega, sedangkan tujuan asal pembinaannya adalah untuk memenuhi keperluan pengangkutan rakyat.