TAIPING - Tiga gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) yang ditempatkan di Tennoji Zoo, Osaka, Jepun berada dalam keadaan sihat dan aktif dengan mencatatkan peningkatan berat badan yang positif.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping (MPT), Mohamed Akmal Dahalan berkata, berdasarkan laporan pemantauan dan penilaian veterinar terkini, kesemua gajah berkenaan juga menyesuaikan diri dengan baik di habitat baharu itu.
Menurutnya, gajah bernama Kelat mencatatkan peningkatan berat sebanyak 260 kilogram, diikuti Dara sebanyak 35 kilogram dan Amoi sebanyak 30 kilogram berbanding laporan sebelum ini.
“Peningkatan ini menunjukkan perkembangan yang positif hasil daripada pemantauan kesihatan, pengurusan diet serta penjagaan yang berterusan oleh pihak zoo,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, diet harian gajah di Tennoji Zoo adalah lengkap dan seimbang, disediakan mengikut keperluan nutrisi spesies serta dipantau oleh pegawai veterinar.
Katanya, makanan yang diberikan termasuk rumput kering berkualiti tinggi sebagai sumber serat utama selain pucuk buluh, rumput segar, kubis, pelet khas, alfalfa cubes, dedak gandum, lobak merah, keledek, roti serta buah-buahan seperti epal.
“Rumput kering atau hay merupakan komponen utama diet harian kerana kandungan seratnya yang tinggi membantu sistem pencernaan, menyokong fungsi usus dan menggalakkan tingkah laku semula jadi gajah.
“Epal pula digunakan sebagai sebahagian daripada diet harian serta ganjaran semasa sesi latihan penjagaan dan aktiviti pengayaan tingkah laku,” katanya.
Mohamed Akmal berkata, pemantauan terhadap kebajikan gajah-gajah itu dilaksanakan secara berterusan melalui kerjasama antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia serta MPT.
Jelas beliau, MPT sentiasa mematuhi semua undang-undang, perjanjian dan garis panduan kebajikan haiwan sepanjang pelaksanaan kerjasama berkenaan serta sedia memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa dalam sebarang semakan atau siasatan sebagai komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.
"MPT menghormati kebebasan masyarakat untuk menyuarakan pandangan. Bagaimanapun, sebarang dakwaan berkaitan kebajikan gajah hendaklah disokong oleh fakta, maklumat yang sahih dan penilaian profesional agar tidak menimbulkan salah faham yang boleh menjejaskan usaha konservasi negara serta hubungan kerjasama antarabangsa," katanya.
Berdasarkan rekod pemantauan kesihatan Mei lalu, Kelat menunjukkan peningkatan berat sebanyak 440 kilogram daripada 2,360 kilogram kepada 2,800 kilogram, diikuti Dara yang meningkat 215 kilogram (1,985 kilogram kepada 2,200 kilogram) serta Amoi bertambah 200 kilogram (1,280 kilogram kepada 1,480 kilogram).