Datuk Bandar ‘bernikah’ dengan buaya

Iklan
Seekor buaya caiman yang dinamakan Ana Cintia Ramirez Ahumada dipakaikan seperti pengantin perempuan sebelum 'dikahwinkan' dengan Datuk Bandar tempatan, Daniel Gutierrez.

SAN PEDRO HUAMELULA - Seorang Datuk Bandar di sebuah pekan kecil di Mexico melafazkan 'akad perkahwinan' dengan seekor buaya dalam satu upacara tradisi berwarna-warni yang diadakan bagi memohon hasil tuaian baik dan kemakmuran komuniti.

Upacara tersebut berlangsung di pekan San Pedro Huamelula pada Rabu, dengan penduduk setempat memenuhi jalan-jalan sambil menari serta menyertai perayaan tradisi yang telah diwarisi sejak zaman dahulu.

Iklan
Iklan

Dalam ritual itu, seekor buaya jenis caiman yang dinamakan Ana Cintia Ramirez Ahumada dipakaikan seperti pengantin perempuan sebelum 'dikahwinkan' dengan Datuk Bandar tempatan, Daniel Gutierrez.

Walaupun kelihatan luar biasa, upacara itu dipercayai mempunyai akar sejarah sejak zaman pra-Hispanik dalam kalangan komuniti pribumi Chontal dan Huave di negeri Oaxaca.

Iklan

Penduduk tempatan percaya buaya tersebut melambangkan dewi atau roh yang mewakili 'Ibu Bumi', dan perkahwinannya dengan pemimpin komuniti merupakan simbol penyatuan antara manusia dan alam serta dunia spiritual.

Ritual itu juga dikaitkan dengan kepercayaan bahawa penyatuan simbolik tersebut akan membawa kemakmuran, hasil pertanian yang baik serta kesejahteraan kepada komuniti setempat.

Iklan

Selepas upacara selesai, sambutan diteruskan dengan perayaan besar-besaran yang disertai penduduk sebagai tanda kegembiraan dan harapan terhadap musim tuaian yang lebih baik.- Agensi