KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan permohonan maaf kepada Kerajaan Iran kerana tidak dapat menghadiri majlis penghormatan terakhir Pemimpin Agung republik berkenaan, Ayatollah Ali Khamenei.
Anwar berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Duta Besar Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi ketika mereka bertemu pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di sini pada Khamis.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada kerajaan dan rakyat Iran atas pemergian Khamenei.
Perdana Menteri berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu diamanahkan untuk mewakili kerajaan serta rakyat Malaysia bagi menghadiri majlis penghormatan terakhir itu.
Khamenei, 86, terkorban di kediamannya di Tehran pada 28 Februari lepas akibat serangan yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Majlis itu dijadual berlangsung selama enam hari bermula 4 Julai ini dengan perarakan jenazah di Tehran dan Qom sebelum Khamenei disemadikan di Makam Imam Reza di Mashhad pada 9 Julai. - Bernama