KOTA BHARU – Aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP), faktor manusia serta teknikal peralatan antara yang akan diteliti dalam siasatan berhubung insiden dua anggota Tentera Darat yang cedera ketika menjalani Latihan Peningkatan Tempur (LPT) di Lapang Sasar Kem Hobart, Gurun, Kedah.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, siasatan itu penting bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian pada Isnin lalu itu sebelum sebarang langkah penambahbaikan atau tindakan susulan diambil.
“Kami menilai insiden yang berlaku kerana ia boleh berpunca daripada dua faktor utama iaitu faktor manusia atau faktor peralatan.
“Bagaimanapun, kita perlu membuat kesimpulan berdasarkan hasil siasatan terlebih dahulu sebelum mengambil langkah penambahbaikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jelajah Wira Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) 2026 Edisi Pantai Timur di Kem Desa Pahlawan, Ketereh di sini pada Khamis.
Adly berkata, kementerian tidak akan membuat sebarang kesimpulan sehingga laporan siasatan lengkap diperoleh.
Menurutnya, keutamaan kementerian ketika ini adalah memastikan kebajikan anggota yang terlibat terus diberi perhatian termasuk menyediakan rawatan yang sewajarnya.
“Seorang anggota menerima rawatan sebagai pesakit luar, manakala seorang lagi masih menjalani rawatan.
“Apabila berlaku insiden seperti ini, tindakan pertama yang diambil ialah memastikan rawatan kepada anggota yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata, hasil siasatan itu akan dijadikan asas dalam menentukan tindakan susulan yang perlu diambil bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Adly menegaskan kementerian masih yakin SOP latihan yang diguna pakai ketika ini telah mengambil kira pelbagai aspek keselamatan.
“Setakat ini, kita yakin SOP sedia ada sudah mengambil kira semua faktor berkaitan sama ada dari sudut teknikal mahupun faktor manusia.
“Namun, siasatan tetap dijalankan bagi memastikan setiap aspek dikenal pasti dan ditambah baik sekiranya perlu,” katanya.
Dalam pada itu, program Jelajah Wira LTAT diperluaskan buat julung kalinya menerusi siaran langsung digital bagi membolehkan lebih ramai warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengikuti program tanpa mengira lokasi.
Jelajah meliputi Kelantan, Terengganu dan Pahang itu menyasarkan penyertaan fizikal lebih 3,600 anggota ATM selain berpotensi menyantuni lebih 10,000 warga ATM di seluruh negara menerusi platform digital.
Program turut memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan literasi kewangan, kebajikan pencarum serta pemerkasaan veteran ATM melalui pelbagai inisiatif dan program pembangunan sosioekonomi.