YKM sasar 10 pelajar raih 5A ke atas dalam SPM 2026

Iklan
YKM menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pelajar di bawah naungannya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2026 menerusi pelaksanaan Kem Motivasi SPM 2026 dengan kerjasama pusat tuisyen MC PLUS.

KUALA LUMPUR – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) menyasarkan sekurang-kurangnya 10 pelajar di bawah naungannya memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 menerusi pelaksanaan Kem Motivasi SPM 2026 dengan kerjasama pusat tuisyen MC PLUS.

Pengerusi YKM, Datuk Seri Dr Ismail Sabri Yaakob berkata, selagi yayasan itu mempunyai kemampuan kewangan, anak-anak di bawah naungannya akan terus diberi sokongan agar tidak tercicir daripada peluang mendapatkan pendidikan berkualiti.

Iklan
Iklan

"YKM akan memperluaskan program pembangunan pendidikan termasuk Kem Motivasi SPM 2026 bersama pusat tuisyen MC PLUS, dengan sasaran sekurang-kurangnya 10 pelajar memperoleh keputusan 5A dan ke atas dalam peperiksaan SPM 2026," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, YKM akan menyalurkan Bantuan Menara Gading kepada 13 anak di bawah naungannya yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi selepas menduduki peperiksaan SPM 2025.

Iklan

Menurutnya, jumlah itu mewakili 40 peratus daripada 33 anak YKM yang menduduki peperiksaan berkenaan tahun lalu dengan kesemua mereka menyambung pengajian menerusi pelbagai laluan termasuk Tingkatan Enam, diploma, matrikulasi, asasi, sijil dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ismail Sabri berkata, bantuan tunai bagi meringankan perbelanjaan awal sebelum memasuki kampus akan mula dikreditkan ke dalam akaun penerima bermula Jumaat.

Iklan

"Tahniah kepada semua anak-anak YKM yang berjaya melangkah ke menara gading. Kejayaan ini membuktikan bahawa dengan dorongan, disiplin dan sokongan yang tepat, mereka mampu membina masa depan yang lebih baik.

"Namun, peratusan anak-anak YKM yang menyambung pelajaran masih perlu dipertingkatkan. YKM mensasarkan lebih separuh daripada pelajar lepasan SPM di bawah naungannya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya setiap tahun," katanya.

Beliau berkata, pelajar cemerlang YKM SPM 2025, Aisyah Maharuddin yang memperoleh keputusan 10A kini melanjutkan pengajian di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan, manakala Nurhanani Ainah Khafizan dan Nur Aqilah Alya Mohamad yang masing-masing memperoleh keputusan 9A mengikuti program asasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil.

Tambah beliau, Bantuan Menara Gading itu merupakan sokongan awal yang bermakna bagi membantu pelajar memulakan kehidupan di kampus dengan lebih yakin, selain YKM akan terus bersama mereka dalam usaha mengejar ilmu dan membina masa depan yang lebih baik.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, YKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai untuk menyumbang dana, menaja program pendidikan, menyediakan bimbingan akademik atau menyokong keperluan awal pelajar supaya lebih ramai anak-anak daripada keluarga yang memerlukan berpeluang membina masa depan yang lebih cerah.