Tiga warga asing diberkas, rokok seludup RM769,480 dirampas

Iklan
Mohd Zaki

JOHOR BAHRU – Tiga warga asing ditahan manakala rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM769,480 dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Daya di sini pada Rabu.

Operasi kira-kira jam 10 malam itu dijalankan menerusi Op Taring Alpha 1 oleh Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor.

Iklan
Iklan

Komander WCB/PSK, Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, dalam serbuan tersebut, pihaknya menahan dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 49 tahun serta seorang wanita warga Indonesia berusia 51 tahun.

"Pemeriksaan lanjut turut menemui 292,000 batang rokok dipercayai tidak bercukai pelbagai jenama di dalam rumah berkenaan serta sebuah kenderaan jenis Proton Exora yang diletakkan di lokasi sama.

Iklan

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM769,480 dengan nilai sebenar barangan dirampas sebanyak RM744,480,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Mohd Zaki berkata, kejayaan operasi itu telah menumpaskan satu rangkaian penyimpanan dan pengedaran rokok tidak bercukai yang dipercayai aktif beroperasi di sekitar Johor Bahru.

Iklan

"Siasatan awal mendapati sindiket berkenaan menggunakan premis kediaman sebagai stor penyimpanan sebelum diedarkan ke pasaran tempatan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Kita sedang mengesan dalang utama yang dipercayai menjadi tulang belakang sindiket berkenaan yang masih bebas dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan," katanya.