Pantau unsur gangsterisme di sekolah rendah - Polis

Iklan
Fadil (dua dari kanan) beramah mesra dengan para murid sekolah di sini pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mempergiat pemantauan terhadap unsur gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolah bagi memastikan gejala berkenaan tidak menular dan menjejaskan disiplin serta masa depan generasi muda.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada pendekatan berterusan polis bersama masyarakat dan institusi pendidikan dalam memperkukuh pembentukan sahsiah, disiplin serta jati diri pelajar di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Iklan
Iklan

"Usaha berkenaan dilaksanakan melalui pendekatan libat urus (engagement) bersama pihak sekolah serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memperluas program kesedaran disiplin di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur," katanya.

Fadil berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan peluncuran program 'PDRM dan Murid Berpisah Tiada: Membina Sahsiah, Menyemai Disiplin 2026 di Sekolah Kebangsaan La Salle 2 Jinjang di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Megat Affandi Ismail dan Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Basri Sagoni.

Fadil berkata, sebelum ini fokus utama lebih tertumpu kepada sekolah menengah melibatkan pematuhan undang-undang secara menyeluruh termasuk keselamatan jalan raya.

Iklan

"Ia termasuk usaha memastikan unsur gangsterisme tidak menular dalam kalangan pelajar, khususnya di peringkat sekolah rendah, bagi melindungi mereka daripada pengaruh yang boleh merosakkan disiplin mereka," katanya.

Mengulas lanjut, Fadil berkata, program berkenaan bertujuan mewujudkan persefahaman bersama antara pihak pentadbir sekolah dan polis dalam memperkukuh nilai sahsiah dan jati diri murid agar tidak mudah terpengaruh dengan unsur negatif.

"Ia juga akan dilaksanakan secara berperingkat melibatkan semua sekolah menengah dan sekolah rendah di ibu negara dengan komunikasi dua hala yang berterusan antara pihak polis dan institusi pendidikan," katanya.

Mengulas mengenai trend kesalahan disiplin dalam kalangan murid sekolah rendah, Fadil memaklumkan bahawa masih terdapat rekod kesalahan yang dikesan, namun ia berada pada tahap yang memerlukan perhatian serius dan tindakan pencegahan awal.

“Kesalahan disiplin di peringkat sekolah rendah memang ada direkodkan. Justeru, keutamaan kita adalah untuk menangani isu ini dari peringkat awal,” katanya.

Sementara itu, Megat Affandi berkata, pihaknya memandang serius setiap isu berkaitan kehadiran, disiplin dan sahsiah murid bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada sistem pendidikan atau terjebak dalam gejala yang boleh menjejaskan masa depan mereka.

"Pencapaian dalam mengawal isu disiplin murid bukan hanya hasil usaha pihak sekolah, malah turut disokong melalui kerjasama erat Polis Kuala Lumpur dalam aspek advokasi keselamatan, pencegahan jenayah, pemantauan komuniti serta pembinaan hubungan positif dengan warga sekolah," katanya.