Malaysia perlu pengkomputeran awan berdaulat bagi lindung keselamatan kritikal, data peribadi - PM

Iklan
Anwar ketika hadir pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39, pada Khamis. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu mewujudkan pengkomputeran awan berdaulat bagi melindungi keselamatan kritikal dan data peribadi, dan pada masa sama terus menerima pelaburan digital global berikutan rantau Asia Tenggara semakin bergantung kepada teknologi dan infrastruktur digital penting.

Menjawab pertanyaan bagaimana Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dalam landskap digital yang semakin berhubung, beliau berkata, pengkomputeran awan berdaulat itu akan membolehkan Malaysia melindungi maklumat sensitif sambil kekal terbuka dalam dunia global.

Iklan
Iklan

"Akta Awan telah menimbulkan beberapa isu kerana Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata syarikat yang beroperasi di AS mempunyai hak untuk menembusi dan mendapatkan semua data dari negara mereka melabur.

"Adil, itu keputusan mereka, tiada apa-apa yang boleh dilakukan. Namun, untuk melindungi kepentingan kita, kita perlu mewujudkannya...untuk keselamatan kritikal dan data peribadi, satu pengkomputeran awan berdaulat,” kata beliau semasa sesi soal jawab pada Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-39 di sini pada Khamis.

Iklan

Anwar berkata, awan berdaulat itu bakal mempunyai sistem tembok keselamatan bagi melindungi keselamatan kritikal dan maklumat peribadi, namun mengakui perlindungan itu mempunyai hadnya dalam dunia yang semakin saling berhubung.

"Pada pandangan saya, ini adalah kaedah yang bijak untuk melindungi rakyat dan kepentingan kita. Pada masa sama, kita perlu menerima hakikat bahawa dalam dunia global, terdapat had kepada perlindungan sedemikian kerana sebagai negara yang bebas dan demokratik, kita masih mempunyai akses terbuka,” kata beliau.

Iklan

Perdana Menteri berkata, walaupun keterbukaan dan kebebasan pertukaran maklumat adalah penting, ia turut mewujudkan cabaran akibat penyalahgunaan media sosial dan platform digital.

Anwar berkata, penyalahgunaan ini boleh berlaku dalam bentuk politik, ekonomi, peribadi atau seksual, justeru itu, kerajaan perlu mewujudkan perlindungan yang sah bagi melindungi rakyat Malaysia terutama golongan muda daripada pendedahan sedemikian.

Malaysia masih menarik minat pelaburan dari AS, China dan Jerman, kata Perdana Menteri sambil memaklumkan kesepaduan ASEAN amat penting bukan sahaja dari segi dasar luar, malah untuk memastikan negara terus menarik minat pelabur dan dilihat sebagai negara yang baik dengan semua pihak.

Mengenai peranan Malaysia sebagai kuasa pertengahan, Anwar berkata, kekuatan Malaysia sebagai negara kecil bukan sahaja terletak pada potensinya sendiri, malah pada kekuatan kolektif ASEAN.

"Saya tidak menganggap Malaysia sebagai kuasa besar. Kami negara kecil. Oleh itu, kami menjalin hubungan yang erat dengan negara jiran. Kekuatan kami bukan sahaja pada potensi Malaysia, malah pada potensi ASEAN,” kata Perdana Menteri.

Anwar berkata, Malaysia akan terus menjalinkan hubungan dengan semua negara yang mempunyai hubungan baik dengannya dan pada masa sama menegaskan bahawa negara kecil perlu berkembang bersama sebagai rantau dan bukannya mengejar status kuasa pertengahan secara bersendirian. - Bernama