KLANG - Meskipun sedang berjuang melawan kanser payudara tahap dua, seorang ibu tunggal tidak pernah menjadikan penyakit dihidapi sebagai alasan untuk mengabaikan tanggungjawab menjaga ibunya yang menghidap kanser usus.
Norlizah Nasir, 58, berkata, kira-kira dua tahun lalu kehidupannya berubah apabila ibunya, Rahimah Samsuri, 79, disahkan menghidap kanser usus dan memerlukan penjagaan rapi selepas menjalani pembedahan sehingga terpaksa menggunakan beg stoma.
Menurut ibu tunggal enam anak itu, dia sendiri disahkan menghidap kanser payudara tahap dua kira-kira dua bulan lebih awal daripada ibunya, namun tetap tabah menguruskan Rahimah meskipun terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan kemoterapi.
Menurut Norlizah, dia menjalani rawatan kemoterapi setiap tiga minggu di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, selain perlu menjalani ujian darah mengikut jadual ditetapkan doktor.
"Selepas kemoterapi memang badan sangat penat, kadang-kadang berjalan pun terhuyung-hayang. Baru-baru ini rawatan terpaksa ditangguhkan kerana bacaan sel darah putih saya rendah," jelasnya.
Norlizah berkata, ibunya pula memerlukan beg stoma yang perlu ditukar secara berkala dan kos pembeliannya melebihi RM60 seunit sekali gus menambah beban kewangan mereka.
"Kalau beg stoma bocor, kena tukar lebih awal dan memang menjadi perbelanjaan tetap setiap bulan," katanya.
Menurutnya, sejak berpisah dengan suami kira-kira empat tahun lalu, dia tidak lagi bekerja dan hanya bergantung kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 sebulan selain bantuan daripada anak-anaknya berusia antara 23 hingga 34 tahun serta sedikit simpanan.
"Ada anak yang bantu beli barang dapur atau makanan, tetapi bukan semua mampu membantu kerana masing-masing ada komitmen sendiri.
"Saya pun tak pandai memandu, kalau nak ke hospital, saya terpaksa naik Grab walaupun kosnya agak mahal," katanya.
Norlizah yang juga anak sulung daripada enam beradik berkata, walaupun diuji dengan penyakit dan kekangan kewangan, dia tetap reda serta akan terus menjaga ibunya selagi termampu.
"Cuma saya berharap agensi kerajaan berkaitan dapat membantu kami terutama ibu yang sehingga kini masih tidak menerima apa-apa bantuan," tambahnya.
Sementara itu, Wakil Pertubuhan Prihatin, Aminudin Mokmin yang menziarahi keluarga itu berkata, keadaan dua beranak itu mencabar apabila mereka bukan sahaja bergelut dengan penyakit, malah berdepan kesukaran kewangan bagi menampung kos rawatan serta perbelanjaan harian.
Katanya, anak kepada warga emas itu perlu berulang-alik mendapatkan rawatan kanser sekali gus memerlukan perbelanjaan tinggi.
"Keadaan ini menyebabkan mereka memerlukan bantuan segera terutama bagi menampung kos rawatan, pengangkutan ke hospital, sara hidup serta keperluan perubatan," ujarnya.
Aminudin berkata, pihaknya berharap institusi seperti LZS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan di bawah kerajaan Selangor dapat menyelaras bantuan bagi meringankan beban dua beranak itu.
"Dengan adanya bantuan segera ia secara tidak langsung membolehkan mereka meneruskan rawatan dan menjalani kehidupan harian dengan lebih baik,".