PRN Johor: DAP optimis muka baharu mampu bawa perubahan

Iklan
Steven Sim (tengah) merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mengiringi calon PH DUN N22 Parit Raja, Syazwan Zainal Abidin (tiga dari kiri) bertemu pengundi ketika sesi santai sarapan bersama calon sempena kempen PRN Johor di Kompleks Niaga Parit Raja, pada Khamis. Turut hadir Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman (kanan). Foto Bernama

BATU PAHAT - DAP yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) optimis terhadap keupayaan barisan muka baharu yang diketengahkan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah berani DAP Johor mengetengahkan calon yang tidak pernah bertanding sebelum ini adalah untuk memberi ruang kepada anak muda berada di barisan hadapan, sekali gus membawa perubahan di kawasan masing-masing.

Iklan
Iklan

Steven yang juga Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi berkata, meskipun berstatus muka baharu, calon yang diketengahkan bukanlah individu asing dalam arena politik kerana kebanyakannya berpengalaman luas bekerja di belakang tabir parti sebelum ini.

"Kita akan libatkan juga mereka (orang lama) yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat dan sebagainya dalam kempen serta gerak kerja," katanya kepada Bernama selepas sesi santai sarapan bersama calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja di sini, pada Khamis.

Iklan

Turut hadir Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman dan calon DAP DUN Parit, Raja Shazwan Dzainal Abidin.

Sementara itu, Young Syefura berkata, sokongan padu diberikan kepada muka baharu bagi membuktikan setiap individu dalam DAP mempunyai kekuatan tersendiri untuk memimpin, selain mahu menonjolkan bakat mereka di peringkat akar umbi.

Iklan

"Sebagai contoh calon Parit Raja (Shazwan Dzainal) merupakan anak tempatan Batu Pahat juga berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang politik termasuk pernah berkhidmat sebagai pegawai khas kepada ADUN Penggaram,” katanya.

Beliau turut memuji semangat positif yang dipamerkan Shazwan sepanjang enam hari tempoh kempen berlalu, meskipun menyedari DUN Parit Raja merupakan antara kubu kuat Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Shazwan mengakui gembira dengan maklum balas penduduk setempat yang menerima baik kehadirannya walaupun pada mulanya beliau berasa agak gementar.

"Teruja untuk bertanding di sini yang sememangnya kubu UMNO, BN tetapi kali ini sambutan sangat baik dalam kalangan penduduk, malah ada juga yang memanggil saya untuk berswafoto dan ini memberikan kekuatan kepada saya,” katanya.

Pada PRN kali ini, DAP yang bertanding atas tiket PH meletakkan 17 calon iaitu di DUN Jementah, Bekok, Tangkak, Bentayan, Yong Peng, Parit Raja, Penggaram, Mengkibol dan Paloh.

DUN lain yang ditandingi ialah Tiram, Johor Jaya, Stulang, Perling, Skudai, Bukit Permai, Senai dan Pekan Nanas.

Sebanyak 172 calon bertanding pada PRN Johor yang akan berlangsung 11 Julai ini, manakala pengundian awal pada 7 Julai.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. - Bernama

N22: PARIT RAJA: 38,159

1. Shazwan Dzainal Abidin (PH-DAP)

2. Dr Mohamed Maliki Mohamed Rapiee (PN-Bersatu)

3. Nor Rashidah Ramli (BN-UMNO)

(2022: Nor Rashidah Ramli: BN-UMNO: Maj: 4,219)