MANJUNG - Empat rakan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas didakwa di Mahkamah Majistret Seri Manjung pada Khamis atas pertuduhan mengedar dadah lebih 500 gram, bulan lalu.
Tertuduh, Tugimin Mistat, 54; Zulkifli Abdul Halim, 40; Mohd Ashiq Mohd Saed, 40, dan Fitri Hafifi Mohd Hassan, 35, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Asma’ Nahdiyya Che Ab Rahim.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 503.20 gram di sebuah rumah bernombor di Fasa 2D, Seri Manjung dalam daerah Manjung kira-kira jam 3.30 petang pada 26 Jun 2026.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan dikenakan maksimum 12 sebatan sekiranya tidak dikenakan hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Zainarida Emilia Zaidi, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan 30 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia.