PARIS - Perancis kini berdepan lonjakan kematian berkaitan cuaca panas melampau apabila rumah mayat di Paris dilaporkan sesak susulan peningkatan jumlah kematian sepanjang gelombang haba luar biasa yang melanda negara itu.
Seorang wakil industri pengurusan jenazah memaklumkan bahawa kapasiti rumah mayat di ibu negara semakin kritikal akibat peningkatan mendadak jumlah kematian dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini.
Kerajaan Perancis bagaimanapun mempertahankan langkah yang diambil dalam menangani situasi tersebut, walaupun gelombang haba berkenaan telah menjejaskan rutin harian rakyat serta memaksa penutupan banyak sekolah dan lokasi pelancongan utama.
Kebanyakan kediaman di Perancis tidak dilengkapi penghawa dingin, manakala sebahagian besar sekolah juga tidak direka untuk menghadapi suhu ekstrem.
Ketua Persekutuan Pengurusan Jenazah Kebangsaan, Elisabeth Charrier berkata, kadar penggunaan rumah mayat yang lazimnya sekitar 30 hingga 45 peratus pada musim panas kini meningkat melebihi 66 peratus di seluruh negara.
Menurutnya, beberapa lokasi telah mencapai kapasiti maksimum, khususnya di kawasan bandar.
“Cabaran utama ketika ini ialah di pusat bandar Paris, di mana dua rumah mayat utama telah penuh sejak Jumaat lalu,” katanya kepada AFP.
Beliau berkata, keluarga terpaksa membawa jenazah ke kawasan luar Paris termasuk pinggir bandar bagi mendapatkan ruang yang masih tersedia untuk urusan penghormatan terakhir.
Charrier turut memberi amaran mengenai kesan berantai dalam tempoh beberapa hari akan datang.
Katanya, situasi mungkin bertambah rumit apabila tempoh menunggu untuk kremasi atau urusan pengebumian menjadi lebih panjang.
“Kakitangan tanah perkuburan tidak mampu menggali kubur pada kadar lebih pantas, manakala slot kremasi pula cepat penuh,” katanya.
Pegawai kesihatan Perancis pada Ahad memaklumkan bahawa kira-kira 1,000 kematian tambahan direkodkan berbanding tempoh sama pada bulan-bulan sebelumnya sejak Rabu minggu lalu, ketika negara itu mengalami suhu tertinggi dalam sejarah rekod.
Sebanyak 85 peratus daripada kematian tersebut melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas.
Peningkatan paling ketara membabitkan kematian di rumah, khususnya di Paris dan kawasan sekitarnya.
Perdana Menteri, Sebastien Lecornu, mempertahankan tindakan kerajaan dalam mesyuarat pada Isnin dengan menyatakan langkah yang dilaksanakan berjaya mengawal situasi dengan baik.
Beliau berkata, penghawa dingin pertama yang ditempah untuk hospital dijangka mula dihantar pada hujung minggu ini atau awal minggu depan.
“Ini merupakan keutamaan utama kami sekiranya fenomena seperti ini berulang, supaya keadaan di hospital dapat diuruskan dengan lebih baik,” katanya.
Namun, pemimpin Parti Hijau, Marine Tondelier, memberi gambaran berbeza apabila mendakwa terdapat kekurangan bekalan ais di jabatan kecemasan bagi merawat pesakit hipertermia.
Menurutnya, petugas kesihatan dan anggota perkhidmatan kecemasan terpaksa dipanggil bertugas semula dalam keadaan yang amat mencabar.
Beliau menegaskan siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca sebenar krisis itu serta menilai tanggungjawab pihak berkaitan.
Akhbar Le Monde pula melaporkan jutaan rakyat Perancis terpaksa menghadapi cuaca panas melampau tanpa bantuan mencukupi, sama ada di rumah, sekolah, hospital mahupun tempat kerja.
Akhbar itu turut menyifatkan jumlah kematian akibat gelombang haba setakat ini masih belum disusuli dengan mesej simpati rasmi daripada kepimpinan tertinggi negara.
Dalam perkembangan sama, sekumpulan aktivis bersama pertubuhan bantuan perumahan melancarkan petisyen menuntut hak untuk menangguhkan bayaran sewa bagi kediaman yang tidak mempunyai perlindungan haba dan sistem pengudaraan mencukupi.
Mereka menegaskan tindakan itu penting memandangkan ramai rakyat terdedah kepada risiko kesihatan akibat suhu melampau tanpa perlindungan sewajarnya.
Setakat ini, petisyen berkenaan telah mengumpul kira-kira 4,000 tandatangan. - Agensi