TELUK INTAN - Seorang wanita dikesan membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya disamun dalam kejadian di sebuah premis perniagaan di Taman Ros di sini, Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, wanita berusia 48 tahun itu pada mulanya membuat laporan mendakwa dirinya disamun oleh dua lelaki yang menaiki motosikal di kawasan parkir premis berkenaan.
Iklan
Iklan
Menurutnya, dalam laporan dibuat, wanita itu mendakwa beg tangannya yang mengandungi wang tunai serta barangan peribadi telah dirampas dalam kejadian tersebut.
Beliau berkata, individu terbabit kemudian mengaku bahawa laporan polis tersebut dibuat secara palsu kerana berdepan masalah peribadi.
Katanya, polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu kepada penjawat awam.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius perbuatan membuat laporan palsu kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah menyebabkan pembaziran masa, tenaga dan aset pasukan," katanya.
Tambahnya, IPD Hilir Perak akan terus komited menjalankan siasatan secara profesional, telus dan adil serta tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan saluran laporan polis bagi kepentingan peribadi.