BOUSTEAD Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) dan Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berperingkat di 50 stesen BHPetrol sekitar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif Mara Inc, Faizul Idzhar Ahmad Yazi berkata, sehingga Jun 2026, sebanyak 16 stesen BHPetrol sudah beroperasi menggunakan sistem solar PV.
Menurutnya, manakala baki 34 stesen akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga mencapai sasaran keseluruhan projek.
"Bagi sasaran projek menjelang penghujung tahun ini, kami komited menyiapkan pemasangan di 50 stesen BHPetrol.
"Ini termasuk proses ujian dan pentauliahan (testing and commissioning), mendapatkan lesen serta kelulusan berkaitan sebelum sistem dibenarkan beroperasi dan menjana tenaga," ulasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Sistem PV yang dirasmikan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman di Stesen BHPetrol Jalan Genting Klang 1 di ibu negara pada Rabu.
Turut hadir, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol, Fardzi Shah Razali.
Tambah Faizul Idzhar, inisiatif sistem solar PV itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh strategi pelaburan hijau Mara Inc.
"Sistem solar PV berkapasiti 1.4MWp itu dijangka mengurangkan pelepasan 1,347 tan karbon dioksida setahun apabila siap sepenuhnya.
"la seterusnya menyumbang kepada usaha memperkukuh pembangunan ekonomi rendah karbon dan amalan perniagaan yang lebih mampan," ujarnya.
Beliau memberitahu, Mara Inc kini sedang mengembangkan perniagaan dalam sektor tenaga boleh baharu lebih mesra alam khususnya solar.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerjasama bukan hanya tertumpu kepada BHPetrol, malah turut melaksanakan projek pemasangan solar di institusi di bawah Mara.
"Kami melihat industri solar mempunyai potensi yang sangat besar.
"Pada masa hadapan, hampir setiap premis di Malaysia berpotensi menggunakan sistem solar kerana ia mampu mengurangkan kos elektrik dalam tempoh 10 hingga 20 tahun," ujarnya.