MUAR - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ‘move on’ tidak lagi mahu memanjangkan isu dakwaan beliau dihalang memasuki kawasan Felda bagi menghadiri program penyerahan geran hak milik kepada peneroka yang tular sebelum ini.
Beliau berkata, tumpuan kini beralih kepada kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung secara sihat.
"Saya ada nampak juga laporan di media yang mengatakan saya dilarang masuk. Masa itu bukan masa kempen. Saya hendak menyerahkan geran tanah kepada peneroka-peneroka, jadi tidak timbul isu berkempen.
"Saya juga telah menerima surat daripada pengurusan Felda sendiri yang memaklumkan program itu terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal.
"Jadi tidak mengapalah, saya rasa kita 'move' on daripada insiden tersebut dan teruskan kempen secara sihat," katanya pada Program Bersama Masyarakat DUN Maharani di Parit Raja Darat Jalan Temenggong Ahmad pada Rabu.
Terdahulu, isu berkenaan tercetus apabila Onn Hafiz mendakwa beliau dihalang memasuki kawasan Felda bagi menghadiri majlis penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena Sambutan Hari Peneroka Felda Negeri Johor 2026.
Susulan itu, majlis yang dijadual berlangsung di Felda Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu dipindahkan ke Dewan Dato' Onn, Taman Sri Lambak, Kluang.
Bagaimanapun, pada Selasa, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan Persekutuan tidak pernah menghalang penganjuran program bersama peneroka Felda oleh kerajaan negeri, namun menegaskan penggunaan jentera kerajaan Persekutuan bagi tujuan kempen pilihan raya sama sekali tidak dibenarkan.