Luqman Adrine kekal terajui MNPA bagi penggal 2026-2028

Iklan
MNPA merupakan persatuan yang menghimpunkan syarikat penerbit akhbar di Malaysia dengan peranan mempromosi, melindungi dan mewakili kepentingan serta kebajikan industri penerbitan akhbar. Foto fail Bernama

KUALA LUMPUR - Persatuan Penerbit Akhbar Malaysia (MNPA) mengekalkan barisan kepimpinan utamanya apabila melantik semula Pengerusi, Setiausaha Kehormat dan Bendahari Kehormat bagi penggal 2026 hingga 2028 pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-53.

Ketua Pegawai Operasi The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP), Luqman Adrine Ja'afar dilantik semula sebagai Pengerusi, manakala Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Nanyang, Liew Sam Ngan, masing-masing kekal sebagai Setiausaha Kehormat serta Bendahari Kehormat.

Iklan
Iklan

Menerusi kenyataan pada Rabu, MNPA memaklumkan pelantikan semula ketiga-tiga pemegang jawatan itu mencerminkan keyakinan ahli terhadap kepimpinan, komitmen dan dedikasi mereka dalam menerajui persatuan ketika industri media terus berdepan perubahan landskap yang pesat.

Dalam pada itu, Luqman berkata, beliau menghargai kepercayaan berterusan yang diberikan oleh ahli-ahli persatuan untuk terus memimpin MNPA dalam tempoh dua tahun akan datang.

Iklan

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua ahli atas keyakinan yang tidak berbelah bahagi. Fokus kami bagi penggal ini adalah untuk memperkukuh suara kolektif penerbit-penerbit di Malaysia serta menyesuaikan diri secara proaktif dengan cabaran era media moden.

"Matlamat utama kami adalah memastikan kewartawanan yang berwibawa dan memberi impak terus berkembang maju di Malaysia," katanya.

Iklan

MNPA merupakan persatuan yang menghimpunkan syarikat penerbit akhbar di Malaysia dengan peranan mempromosi, melindungi dan mewakili kepentingan serta kebajikan industri penerbitan akhbar.

Ia juga menjadi platform bagi memperkukuh pembangunan industri akhbar yang bertanggungjawab di negara ini.

Ditubuhkan pada 1971, MNPA mewakili sebahagian besar penerbit akhbar arus perdana di Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur, termasuk New Straits Times, The Star, The Sun, The Edge, Berita Harian, Sinar Harian, Sin Chew Daily, China Press, Nanyang Siang Pau, See Hua Daily News, United Daily News dan Makkal Osai.