BN bertanding solo bukan sekadar strategi pilihan raya jangka pendek - Penganalisis

Iklan
Menurut Azrie, sesebuah parti boleh bertanding secara bebas bagi menguji kekuatan politiknya, namun masih berupaya bekerjasama selepas pilihan raya sekiranya keadaan memerlukan pembentukan kerajaan campuran. Foto: Bernama

KUALA TERENGGANU – Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan atau memilih bertanding secara solo dalam pilihan raya wajar dinilai daripada perspektif sains politik yang lebih luas dan bukannya sekadar dilihat sebagai strategi elektoral yang bersifat jangka pendek.

​Penganalisis politik, Dr Azrie Azeh berkata, dalam konteks sistem politik Malaysia pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), landskap politik tanah air telah mengalami transformasi ketara apabila tiada satu gabungan politik berjaya memperoleh majoriti mutlak untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.

Iklan
Iklan

Katanya, fenomena itu sekali gus mengubah corak persaingan politik daripada model dominasi satu gabungan kepada model kerjasama rentas gabungan yang lebih kompleks.

"Keputusan BN untuk bertanding secara solo perlu dinilai melalui lensa teori gabungan politik (Coalition Theory), demokrasi konsosiasional (Consociational Democracy), federalisme, ekonomi politik serta konsep kepercayaan politik (Political Trust).

Iklan

"Pendekatan multidisiplin ini membolehkan implikasi sebenar strategi tersebut difahami secara lebih objektif dan menyeluruh kerana dalam sistem demokrasi berparlimen, pertandingan pilihan raya dan kerjasama membentuk kerajaan merupakan dua proses politik yang berbeza,"ujarnya.

Sebelum ini, BN telah menetapkan pendirian untuk bertanding secara solo dan menolak kerjasama atau pembentukan kerajaan gabungan dengan mana-mana parti politik lain bagi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

Iklan

BN Johor akan bertanding secara solo di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan hasrat untuk mengekalkan mandat secara sendirian dengan mendengar suara akar umbi.

BN juga bergerak solo di kesemua 36 kerusi DUN susulan keputusan Pakatan Harapan (PH) yang berhasrat meletakkan calon di semua kerusi tersebut.

​Menurut Azrie, sesebuah parti boleh bertanding secara bebas bagi menguji kekuatan politiknya, namun masih berupaya bekerjasama selepas pilihan raya sekiranya keadaan memerlukan pembentukan kerajaan campuran.

"Kerjasama antara Pakatan Harapan (PH) dan BN selepas PRU15 merupakan contoh jelas kepada realiti tersebut yang mana ia lebih bersifat pentadbiran berasaskan keperluan memperoleh majoriti Parlimen, bukannya penyatuan ideologi secara kekal.

"​Pandangan ini selari dengan Coalition Theory yang dikemukakan oleh William Riker, yang menjelaskan bahawa gabungan politik lazimnya dibentuk bagi memaksimumkan peluang memperoleh kuasa pemerintahan dengan jumlah rakan gabungan yang minimum tetapi mencukupi.

"Dalam masa yang sama, teori Consociational Democracy oleh Arend Lijphart menghuraikan bahawa masyarakat majmuk sering memerlukan kerjasama elit politik bagi memastikan kestabilan pemerintahan meskipun mempunyai perbezaan ideologi yang ketara," ujar beliau.

​Mengulas lanjut, Azrie berkata daripada perspektif berkenaan, keputusan BN bertanding secara solo tidak semestinya membawa maksud hubungan dengan PH akan terputus. Sebaliknya, ia berpotensi mengembalikan identiti politik BN, manakala PH pula berpeluang mengukur kekuatan sebenar tanpa bergantung kepada pemindahan undi daripada rakan gabungan, sekali gus memperkukuh amalan demokrasi yang lebih kompetitif.

Namun demikian, jelas beliau, pendekatan ini turut membawa cabaran tersendiri apabila kepercayaan politik antara kepimpinan mungkin terjejas akibat persaingan secara langsung, selain rundingan pasca pilihan raya dijangka menjadi lebih kompleks dan risiko perpecahan undi akibat pertandingan tiga atau lebih penjuru.

​Menyentuh mengenai aspek federalisme, beliau menegaskan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri tidak bergantung kepada parti politik yang memerintah dari sudut perundangan, sebaliknya ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan melalui pembahagian kuasa dalam Jadual Kesembilan.

Walau bagaimanapun, katanya, komposisi politik antara kerajaan pusat dan negeri tetap mempengaruhi corak kerjasama pentadbiran.

"​Sekiranya BN berjaya menguasai sesebuah negeri sementara PH terus menerajui Kerajaan Persekutuan, hubungan pentadbiran dijangka lebih bergantung kepada proses rundingan dan koordinasi yang berkesan kerana keutamaan pembangunan negeri mungkin berbeza daripada agenda pusat disebabkan hala tuju perjuangan parti yang berbeza.

"Sebaliknya, jika PH berjaya mengekalkan kerajaan negeri manakala BN gagal memperoleh kemenangan yang diharapkan, urusan pentadbiran berkemungkinan menjadi lebih lancar namun pengaruh BN dalam menentukan hala tuju dasar negeri dijangka semakin berkurangan.

"Kajian mengenai federalisme di Malaysia menunjukkan bahawa institusi pentadbiran lazimnya terus berfungsi walaupun kerajaan negeri dan Persekutuan diperintah oleh parti yang berbeza," katanya.

​Azrie turut mengulas implikasi sekiranya salah satu parti mengalami kekalahan, di mana kegagalan BN mencapai keputusan memuaskan melalui strategi solo akan menyaksikan legitimasi pendekatan tersebut dipersoalkan, selain meningkatkan tekanan dalaman terhadap kepimpinan untuk menstruktur semula strategi parti.

"Dari sudut strategik, kegagalan tersebut boleh melemahkan kedudukan BN dalam rundingan pembahagian kerusi serta mengurangkan pengaruhnya dalam kerajaan, walaupun masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran Persekutuan.

"Sebaliknya, sekiranya PH mengalami kemerosotan sokongan, sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan mungkin dianggap semakin menurun, agenda reformasi berpotensi berdepan tekanan politik yang lebih besar, manakala rundingan kuasa dalam kerajaan dijangka menjadi semakin rumit,"katanya lagi.

Beliau berkata, lebih menarik lagi, sekiranya kedua-dua gabungan utama mengalami penyusutan sokongan serentak, pihak ketiga berkemungkinan memperoleh manfaat daripada perpecahan undi akibat sistem pilihan raya First-Past-the-Post (FPTP).

"​Dalam jangka panjang, pertandingan secara solo boleh menghasilkan kesan yang bersifat dwi-dimensi. Dari sudut positif, BN berpeluang membina semula identiti politik dan mengukur kekuatan sebenar di lapangan, manakala PH dapat menilai tahap penerimaan rakyat terhadap dasar-dasar kerajaan serta kekuatan akar umbi tanpa bergantung kepada kerjasama pilihan raya.

"Persaingan yang lebih terbuka ini berpotensi meningkatkan akauntabiliti politik yang memaksa parti-parti menawarkan manifesto yang lebih berkualiti demi kepentingan rakyat.

"Namun begitu, sekiranya persaingan terlalu dipenuhi retorik, ia boleh meningkatkan polarisasi politik dan menjejaskan kematangan demokrasi, selain proses pembentukan kerajaan mengambil masa yang lebih panjang jika tiada mana-mana gabungan memperoleh majoriti jelas, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan politik yang kurang disenangi oleh pasaran dan pelabur,"ujarnya.

​Daripada perspektif ekonomi politik, beliau berkata, pelabur lazimnya menilai tiga faktor utama sebelum membuat keputusan pelaburan iaitu kestabilan kerajaan, konsistensi dasar dan kecekapan pentadbiran.

"Sekiranya pertandingan secara solo menghasilkan kerajaan yang lebih stabil, memperoleh mandat yang jelas serta mampu melaksanakan dasar secara konsisten, keyakinan pelabur berpotensi meningkat.

Bagaimanapun, beliau berkata, prestasi ekonomi sesebuah negara tidak ditentukan oleh keputusan pilihan raya semata-mata kerana faktor luaran seperti pertumbuhan ekonomi global, kadar faedah antarabangsa, perdagangan dunia, kestabilan geopolitik serta dasar fiskal dan monetari turut memainkan peranan penting.

"Konsep Political Trust merujuk kepada tahap keyakinan rakyat terhadap keupayaan institusi dan pemimpin melaksanakan amanah secara konsisten yang dibina melalui tiga dimensi utama iaitu konsistensi, kompetensi dan integriti.

"Kajian-kajian dalam bidang kepercayaan politik secara konsisten menunjukkan bahawa prestasi pentadbiran dan integriti institusi mempunyai pengaruh yang jauh lebih besar terhadap keyakinan rakyat berbanding bentuk gabungan politik semata-mata.

"Kesimpulannya, keputusan BN untuk bertanding secara solo tidak wajar ditafsirkan sekadar sebagai strategi pilihan raya sebaliknya ia mencerminkan proses penyesuaian sistem politik Malaysia yang semakin berkembang ke arah politik pelbagai gabungan, rundingan kuasa dan perkongsian pentadbiran.

"Hubungan antara BN dan PH tidak semestinya berakhir hanya kerana kedua-duanya bersaing dalam pilihan raya, manakala hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kekal bergantung kepada kematangan federalisme serta keupayaan institusi melaksanakan fungsi masing-masing secara profesional,"jelasnya lagi.