KUALA LUMPUR – Syarikat Semantan Estate Sdn Bhd gagal dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, untuk menangguhkan prosiding bagi menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kerajaan berhubung isu tanah seluas 106.542 hektar di Duta Enclave atau sebelum ini dikenali Jalan Duta.
Hakim, Roslan Mat Nor memutuskan demikian selepas menolak permohonan syarikat tersebut kerana kes berkenaan sepatutnya sudah berada di peringkat akhir bagi pentaksiran ganti rugi sebagai mana diperintahkan Mahkamah Rayuan di Putrajaya.
Menurutnya, mahkamah turut mengambil kira hujahan kerajaan bahawa, penangguhan prosiding akan menyebabkan prejudis kepada mereka selaku defendan.
"Ini kerana Mahkamah Rayuan telah memerintahkan faedah pada kadar enam peratus setahun dibayar bermula 1956 sehingga pampasan diselesaikan.
Pada 24 Jun 2025, kerajaan dan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan berjaya dalam rayuan mereka bagi mengetepikan perintah supaya tanah yang dipertikaikan, dipindah milik kepada Semantan Estate.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara itu juga mengarahkan pampasan dibayar kepada syarikat berkenaan yang akan ditaksirkan oleh Mahkamah Tinggi tempoh 30 hari daripada penghakiman, dengan bantuan analisis pakar.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Lee Swee Seng kini Hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan tanah itu diserahkan kepada Semantan Estate.
Bagaimanapun, beliau mengarahkan kerajaan membayar pampasan kepada syarikat berkenaan dalam tempoh 90 hari.
Semantan Estate yang dalam proses penggulungan sukarela, memohon penangguhan taksiran pampasan yang harus dibayar oleh kerajaan berhubung pengambilan tanah secara tidak sah, berdasarkan kadar pasaran tahun 1956 dengan faedah tahunan enam peratus hingga bayaran dibuat.
Mahkamah Rayuan mengarahkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pakar penilai syarikat untuk menilai tanah seluas 106.5 hektar dalam tempoh 30 hari selepas keputusan 24 Jun itu.
Syarikat berkenaan telah menerima pampasan sebanyak RM1.32 juta pada tahun 1956 bagi pengambilan berkenaan, namun jumlah itu kini dianggap tidak mencukupi selepas keputusan mahkamah mengenai pencerobohan.
Selain itu, Semantan Estate juga telah mengemukakan 26 persoalan undang-undang untuk memohon kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan dalam rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan kerajaan untuk tidak perlu mendaftarkan semula hak milik tanah kepada syarikat terbabit.
Notis usul Semantan Estate disertakan dengan afidavit sokongan oleh Dr Jim Lai Chee Chuen iaitu pelikuidator syarikat yang menyatakan persoalan undang-undang itu memenuhi syarat Seksyen 96(b) Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Ini kerana ia membabitkan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan mengenai hak ke atas harta dan kesahan dua undang-undang pra-Merdeka iaitu Seksyen 29(1)(b) Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Seksyen 8 Akta Relief Khusus 1950 (SRA).
Chee Chuen juga menyatakan Mahkamah Rayuan telah melakukan kesilapan undang-undang dalam keputusannya yang jika tidak diperbetulkan akan kekal sebagai duluan yang salah serta mencabuli ketertinggian keputusan mahkamah tertinggi.
Pada 8 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula Semantan Estate supaya tanah berkenaan dipindah milik kepada syarikat itu mengikut Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
Tanah terbabit yang terletak di lokasi utama Jalan Duta menempatkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Hakim, Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan saman pemula Semantan Estate dan menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
Mahkamah memerintahkan Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk mendaftarkan Semantan Estate sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.
Bagaimanapun, pada 12 September tahun sama, kerajaan berjaya dalam permohonan menggantung keputusan berkenaan sementara menunggu pelupusan rayuan kerajaan di Mahkamah Rayuan.
Mahkamah ketika itu membenarkan permohonan kerajaan, memutuskan terdapat keadaan istimewa yang membolehkan penangguhan dibenarkan.
Pada 18 Mei lalu, Semantan Estate memfailkan permohonan penangguhan prosiding tersebut sehingga rayuan bagi memperoleh beberapa dokumen diputuskan Mahkamah Rayuan.
Dokumen itu termasuk pelan pengambilan tanah antara tahun 1956 hingga 1960 untuk digunakan dalam menentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar oleh kerajaan berhubung pemilikan tanah Duta Enclave.
Prosiding itu dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan mewakili defendan sementara peguam, Ira Biswas bertindak bagi pihak Semantan Estate.