MUAR - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merayu pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani agar memberi peluang kepada Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerusi itu selepas empat penggal dikuasai pembangkang.
Beliau berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini merupakan medan penting bagi rakyat menentukan hala tuju kawasan berkenaan sama ada terus ditadbir pembangkang atau kembali kepada BN.
“Jadi untuk PRN ini saya nak minta tolong semua bersatu hati, kita pastikan pilih calon nombor dua (Datuk Ashari Md Sarip),” katanya pada Program Bersama Masyarakat DUN Maharani di Parit Raja Darat Jalan Temenggong Ahmad pada Rabu.
Onn Hafiz berkata, Muar mempunyai tempat yang istimewa dalam hidupnya kerana kedua ibu bapanya berasal dari daerah itu.
Katanya, banyak lagi agenda pembangunan yang akan dilaksanakan di Maharani sekiranya BN diberi mandat mentadbir kawasan berkenaan.
Menurutnya, pelancaran projek Maharani Energy Gateway yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dijangka membawa limpahan manfaat kepada penduduk melalui peluang pekerjaan dan perniagaan serta merancakkan ekonomi setempat.
"Johor sedang membangun dengan pesat. Hasil negeri terus meningkat dan kerajaan negeri tidak pernah melupakan Bangsa Johor menerusi pelbagai inisiatif seperti Bakul Makanan dan Jualan Kasih.
"Sebab itu saya berharap rakyat memberikan peluang kepada BN untuk membawa lebih banyak pembangunan kepada Maharani," katanya.
Pada PRN Johor kali ini, kerusi DUN Maharani menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Mohamad Anuar Hayan mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Ashari Md Sarip (BN), Muhammad Amir Fikri atau Amir Jack (MUDA) dan Muhammad Taqiuddin Cheman daripada Pakatan Harapan (PH).