KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Rompin, Datuk Abdul Khalib Abdullah mencadangkan supaya pesalah yang membuat kandungan video palsu atau ‘deepfake’ berunsur lucah dikenakan hukuman sebatan mandatori.
Beliau berkata, hukuman berat sedemikian penting bagi memberi pengajaran kepada pihak lain supaya tidak mengulangi perbuatan sama.
“Rompin mencadangkan pesalah deepfake lucah ini dikenakan hukuman sebatan mandatori.
“Ini kerana ia memberi impak kemudaratan psikologi kepada mangsa yang mengalami trauma seumur hidup,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata, individu yang menjadi mangsa video palsu berdepan dengan trauma emosi berpanjangan.
Malah katanya, terdapat kes di luar negara yang menyaksikan mangsa bertindak membunuh diri kerana berdepan pemalsuan identiti bagi kes memalukan sedemikian.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika membacakan kali kedua RUU Jenayah Siber 2026 berkata, penggubalan itu penting bagi memastikan undang-undang domestik kekal relevan dan efektif dalam memerangi jenayah siber secara tuntas.
Menurutnya, penggubalan RUU berkenaan antara lain memperkukuh dan memastikan kerangka perundangan jenayah siber mapan dan berdaya tahan bagi menangani jenayah siber yang semakin kompleks.