NILAI – Karangkraf mengadakan kunjungan korporat ke Laman Khadijah iaitu galeri pelawat jenama telekung terkenal Siti Khadijah di sini pada Rabu sebagai usaha memperkukuh hubungan strategik serta meneroka peluang kerjasama perniagaan antara kedua-dua pihak.
Pengerusi Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, meskipun dalam industri yang berbeza, namun kedua-dua syarikat berkongsi matlamat yang sama dalam bidang perniagaan.
"Tujuan utama lawatan ini adalah untuk mengeratkan silaturahim dan memberi peluang kepada ketua-ketua jabatan daripada kedua-dua organisasi untuk saling berkenalan.
"Melalui pertemuan ini, kita saling bertukar pandangan mengenai potensi kerjasama strategik yang boleh memperkukuh jenama masing-masing," katanya.
Beliau berkata, hubungan strategik antara rakan industri adalah penting serta perlunya saling menyokong antara satu sama lain terutama syarikat tempatan.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi dan Ketua Pegawai Eksekutif Group Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Enda Group Sdn Bhd(Enda Group), Mohammad Munzir Aminuddin berkata, kunjungan berkenaan merupakan kesinambungan hubungan yang terjalin selepas pihaknya mengadakan lawatan ke Karangkraf beberapa bulan lalu.
"Kami melihat banyak peluang boleh diterokai bersama, bukan sahaja dalam aspek pengiklanan, kewartawanan dan produk, malah dalam pelbagai inisiatif lain yang mampu memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
"Karangkraf mempunyai pengalaman yang lebih luas dalam bidang perniagaan dan semestinya banyak perkara yang boleh kami pelajari," katanya.
Beliau turut menghargai peranan Karangkraf, khususnya Sinar Harian yang banyak membantu memperkenalkan jenama Siti Khadijah sejak awal penubuhannya.
"Sinar Harian antara platform media yang banyak membantu membangunkan jenama kami dan kita sangat menghargainya.
"Saya berharap ada ruang untuk kami bekerjasama dengan Karangkraf pada masa hadapan," katanya.