Bayar zakat hujung tahun boleh jejas agihan kepada asnaf - PPZ-MAIWP

Iklan
Abdul Hakim (enam dari kanan) bergambar bersama-sama pembayar zakat semasa Pelancaran Kempen Jom Potong 2026 di Ayam Gepuk Top Global KLTS pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggesa umat Islam khususnya golongan bekerja tidak menangguhkan pembayaran zakat sehingga hujung tahun kerana tindakan itu boleh menjejaskan kelancaran agihan kepada golongan asnaf yang memerlukan kira-kira RM100 juta setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, pembayaran zakat secara bulanan menerusi Skim Potongan Zakat Bulanan (PZB) bukan sahaja memudahkan pembayar, malah memastikan dana zakat diterima secara konsisten bagi memenuhi keperluan agihan kepada lapan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, trend pembayaran zakat yang tertumpu pada Ramadan dan Disember menyebabkan pihaknya berdepan cabaran untuk memastikan keperluan agihan bulanan sentiasa mencukupi.

"MAIWP memerlukan sekitar RM100 juta setiap bulan untuk diagihkan kepada golongan asnaf di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Iklan

Abdul Hakim berkata, PPZ-MAIWP pada 31 Disember tahun lalu merekodkan kutipan hampir RM160 juta dalam tempoh sehari sekali gus menggambarkan masih ramai pembayar memilih untuk melunaskan zakat pada saat-saat akhir.

Abdul Hakim (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Ayam Gepuk Top Global, Muhammad Anas Athoillah Moh Fauzi (kanan) melancarkan gimik perasmian semasa Pelancaran Kempen Jom Potong 2026 di Ayam Gepuk Top Global KLTS pada Selasa.

Iklan

Katanya, walaupun kutipan besar itu membantu mencapai sasaran tahunan, pembayaran secara tertumpu pada penghujung tahun tidak memberi manfaat kepada aliran tunai yang diperlukan bagi menampung agihan bulanan kepada asnaf.

"Kalau pembayaran dibuat secara bulanan, beban pembayar juga lebih ringan kerana jumlah zakat dipecahkan kepada 12 bulan, selain membantu memastikan agihan kepada asnaf dapat dilakukan secara lebih konsisten," katanya.

Mengulas Kempen Jom Potong 2026, beliau berkata, PPZ-MAIWP menyasarkan kutipan sebanyak RM150 juta menerusi kempen itu berbanding sasaran RM140 juta tahun lalu.

Menurutnya, PPZ-MAIWP berjaya melepasi sasaran tahun lalu apabila merekodkan kutipan RM142.68 juta menerusi kempen tersebut.

Beliau berkata, sehingga tahun lalu, seramai 141,964 pembayar zakat menggunakan Skim Potongan Zakat Bulanan dengan jumlah kutipan mencecah RM657.12 juta, meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, kutipan melalui potongan gaji meningkat 10 peratus kepada RM275.58 juta berbanding RM250.3 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

"Kira-kira 69 peratus daripada keseluruhan kutipan zakat tahunan PPZ-MAIWP juga disumbangkan menerusi potongan gaji, sekali gus membuktikan kaedah ini menjadi sumber utama kutipan yang stabil dan konsisten," katanya.

Tambah beliau, kempen memasuki tahun kelima penganjurannya itu turut menggalakkan pembayar zakat menyemak semula kadar potongan bulanan terutama mereka yang tidak pernah membuat penambahan walaupun pendapatan meningkat dari semasa ke semasa.