PUTRAJAYA – Peguam yang mewakili Datin Seri Rosmah Mansor dalam rayuan terhadap sabitan kes rasuah projek solar hibrid di Sarawak bernilai RM1.25 bilion gagal menahan air mata di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu ketika memohon pendengaran itu ditangguhkan ke tarikh lain.
Datuk Jagjit Singh berkata, seorang lagi peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri berusia 75 tahun berkenaan, masih bersedih dengan pemergian anak lelakinya Adli Hakim, yang maut dalam kemalangan jalan raya pada 22 Mei lalu.
Beliau berkata, keadaan emosi rakan seperjuangannya masih berada dalam keadaan tidak sesuai untuk meneruskan prosiding rayuan berkenaan.
Jagjit berkata, pembelaan selaku perayu, amat memerlukan kehadiran Akberdin kerana sebahagian besar hujahan bertulis disediakan oleh peguam berkenaan.
Adli Hakim, 24, pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia merupakan seorang daripada tiga mangsa yang maut selepas kenderaan dinaikinya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuhraya Karak, dua bulan lalu.
Selain itu Jagjit berkata, tujuan utama perayu memohon menangguhan prosiding berkenaan, disebabkan pembelaan telah memfailkan semakan untuk menggugurkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan yang mengadili kes solar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 2022 lalu.
Katanya, usaha untuk menyikirkan Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, diteruskan dengan permohonan semakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak permohonan tersebut.
Rosmah memberikan alasan, hakim tersebut melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa deraf penghakiman yang bocor telah disediakan Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur untuk hakim itu menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai berkata, pihak pendakwaan diarahkan untuk membantah permohonan berkenaan kerana rayuan tersebut telah tertangguh di Mahkamah Rayuan sejak 2023.
Bagaimanapun, beliau menyerahkan budi bicara mahkamah untuk mempertimbangkan keadaan peribadi yang dihadapi Akberdin.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim, Datuk Azhahari Kamal Ramli menetapkan rayuan berkenaan didengar selama 16 hari, pada 1 hingga 4, 8 hingga 11 serta 21 hingga 30 September.
Bagaimanapun, beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Dr Choo Kah Sing dan K Muniandy menegaskan tiada lagi ruang untuk sebarang penangguhan memandangkan kes tersebut telah berlarutan sejak 2022.
Mahkamah mengingatkan, rayuan itu mesti bermula pada 1 September dan prosiding diteruskan mengikut jadual tanpa sebarang penangguhan di tengah-tengah perbicaraan
Rosmah didakwa satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua kes menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Datuk Rizal Mansor.
Ia sebagai ganjaran kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.
Ketiga-tiga kesalahan itu dilakukan di Seri Perdana di sini dan dua lokasi di Kuala Lumpur, iaitu Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan sebuah pusat beli belah di Jalan Putra, antara Mac 2016 dan 7 September 2017.
Semua pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pada 1 September 2022, Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan mensabitkan Rosmah atas tiga pertuduhan rasuah dan dikenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda RM970 juta.
Mahkamah turut memerintahkan Rosmah menjalani hukuman penjara tambahan 10 tahun sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan sementara menunggu rayuan diputuskan.
Rosmah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Mohamed Zaini pada saat akhir, kerana mendakwa draf penghakiman keputusan berkenaan telah disediakan pihak ketiga kemudian dibocorkan sebelum ia dikeluarkan secara rasmi.
Ia merujuk laporan portal bertajuk ‘Rosmah Mansor Will Be Pronounced Guilty On 1st September 2022′ dan ‘Download Or View The 71-Page Judgement And Guilty Verdict On Rosmah Mansor Here’ yang disiarkan pada 26 Ogos 2022.
Rosmah memberikan alasan, Mohamed Zaini yang kini hakim Mahkamah Rayuan, telah melanggar Kod Etika Hakim 2009 susulan dakwaan bahawa deraf penghakiman yang bocor telah disediakan Unit Penyelidikan Mahkamah Kuala Lumpur untuk hakim itu menyampaikan keputusan pada 1 September 2022.
Pada 3 Mac lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Rosmah untuk menggugurkan Mohamed Zaini yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan, selepas memutuskan tiada kekhilafan yang mewajarkan campur tangan mahkamah.