AKPS buang lima pegawai, 50 lagi disiasat isu integriti

Iklan
Mohd Shuhaily (depan, dua dari kiri) bergambar bersama pegawainya semasa Perhimpunan Bulanan AKPS di Putrajaya pada Rabu.

PUTRAJAYA - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) bertekad menoktahkan budaya rasuah dan salah guna kuasa di pintu masuk negara, dengan tindakan tegas akan terus diambil terhadap pegawai serta anggota yang terbabit.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, isu integriti masih menjadi cabaran utama agensi itu.

Iklan
Iklan

"Satu isu yang merunsingkan saya ialah perihal integriti yang masih menjadi duri dalam daging. Sejak AKPS beroperasi kurang daripada setahun, kita telah menamatkan perkhidmatan lima pegawai dan 15 orang masih dalam prosedur tatatertib, 50 masih lagi dalam siasatan aktif," katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan AKPS di sini pada Rabu.

Mohd Shuhaily berkata, selain menerapkan disiplin tinggi dan mengubah budaya kerja, beliau juga akan mengarahkan pihak veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memainkan peranan lebih dalam memastikan perihal disiplin dapat ditingkatkan di pintu masuk utama.

Iklan

"Bukan hasrat saya menjadikan statistik buang kerja sebagai KPI Ketua Pengarah AKPS.

"Adalah menjadi hasrat saya untuk mengurangkan jumlah mereka yang dibuang kerja kerana budaya rasuah dan salah guna kuasa sudah dinoktahkan dalam AKPS," ujarnya.

Iklan

Dalam perkembangan lain, Mohd Shuhaily berkata, AKPS mencadangkan perolehan senjata api jenis Glock berikutan spesifikasinya yang tahan lasak serta memerlukan kos penyelenggaraan yang rendah.

Katanya, kerajaan secara dasarnya telah bersetuju untuk membekalkan AKPS dengan senjata api bagi memudahkan urusan serta memastikan aspek keselamatan semasa bertugas.

“Kita inginkan sesuatu yang mudah diselenggara dan tidak mempunyai kos selenggaraan yang besar.

“Semua sedia maklum, senjata tersebut adalah yang mana kita pakai selalunya ialah Glock, kurang maintenance dan lasak. Itu yang kita minta,” ujarnya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meluluskan peruntukan RM22 juta bagi melengkapkan AKPS dengan senjata api dan kelengkapan bersesuaian.

Sementara itu, Mohd Shuhaily dalam ucapannya berkata, AKPS kini melengkapkan anggota dan pegawainya dengan kepakaran baharu di luar bagi memastikan mereka kekal kompetan.

“Ini kerana harapan rakyat untuk menyaksikan satu pasukan yang cukup berwibawa berada di pintu masuk negara, berdiri dengan teguh dan penuh maruah diri yang tinggi, diikat dengan sikap serta ilmu kerja yang tinggi,” katanya.