Mexico mara ke pusingan 16, kekal rekod tanpa bolos

Iklan
Pemain Mexico meraikan kejayaan mara ke pusingan 16 selepas menewaskan Ecuador 2-0 di Mexico City. Foto Agensi

MEXICO mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 selepas menewaskan Ecuador 2-0 dalam perlawanan yang bermula lewat akibat cuaca buruk.

Skuad bimbingan Javier Aguirre tampil agresif sejak wisel permulaan dan membuka jaringan pada minit ke-22 menerusi penyudah menarik Julián Quiñones.

Iklan
Iklan

Penyerang itu melakukan gerakan dari sebelah kiri sebelum melepaskan rembatan padu yang terkena bahagian dalam tiang gol sebelum menerjah jaring.

Mexico menggandakan kelebihan sembilan minit kemudian menerusi Raúl Jiménez yang menyempurnakan rembatan jarak jauh dari luar kotak penalti selepas memanfaatkan kesilapan benteng Ecuador mengawal bola.

Iklan

Ecuador cuba bangkit, namun beberapa peluang terbaik gagal diterjemahkan kepada jaringan.

Percubaan Jhon Yeboah hanya singgah di tiang gol, manakala penjaga gol Mexico, Raúl Rangel turut melakukan beberapa aksi cemerlang untuk mengekalkan gawangnya daripada dibolosi.

Iklan

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan terus memburu gol, namun keputusan kekal 2-0 hingga tamat perlawanan.

Ecuador turut menamatkan aksi dengan 10 pemain selepas Piero Hincapié dilayangkan kad merah pada penghujung perlawanan.

Mexico kini menanti pemenang pertemuan antara England dan Republik Demokratik Congo di pusingan 16 terbaik.

Kemenangan itu melengkapkan rekod sempurna Mexico di peringkat kumpulan apabila memenangi ketiga-tiga perlawanan tanpa dibolosi sebarang gol.

Malah, skuad kendalian Javier Aguirre kini membawa rekod tujuh kemenangan berturut-turut.

Kekalahan terakhir mereka adalah pada penghujung 2025, sebelum mencatat sembilan kemenangan dan dua keputusan seri dalam 11 perlawanan berikutnya dengan hanya melepaskan dua gol.

Sebagai tuan rumah bersama edisi 2026, Mexico turut mencipta sejarah apabila muncul negara pertama menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak tiga kali, selepas edisi 1970 dan 1986.

Pada dua edisi terdahulu itu, Mexico berjaya mara hingga ke suku akhir dan kali ini mereka berazam untuk melangkah lebih jauh.