[VIDEO] Penyertaan dalam Global Sumud Flotilla keputusan peribadi - Timbalan Menteri Luar

Iklan

KUALA LUMPUR - Keputusan rakyat Malaysia untuk menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) bagi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin dibuat atas prinsip individu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Lukanisman Awang berkata, kerajaan akan membantu sekiranya wujud permasalahan ketika misi itu berjalan berdasarkan beberapa pertimbangan.

Iklan
Iklan

“Keputusan menyertai GSF ini adalah keputusan berlandaskan prinsip individu tersebut yang ingin memperjuangkan isu-isu yang berkaitan dengan Palestin dan juga Gaza. Maka, penyertaan mereka dalam program GSF ini adalah keputusan peribadi.

“Kita (kerajaan) ada menyumbangkan bantuan sekiranya permasalahan akan timbul. Ini adalah kaedah dan konsistensi kita tekankan.

Iklan

“Jika sekiranya berlaku pelayaran semula oleh GSF sememangnya kita memberi pandangan yang lebih baik seperti apa yang saya jawab sebentar tadi bahawa pintu Rafah telah dibuka, maka elok kita hantar bantuan supaya ia dapat dirasai,” katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang membangkitkan sama ada kerajaan akan menggalakkan rakyat menyertai GSF pada masa akan datang.

Iklan

Mengulas lanjut, Lukanisman berkata, kerajaan menyokong sebarang usaha untuk menyelamatkan dan membangunkan semula Gaza.

Katanya, antara bantuan yang disalurkan ialah memberikan lampu solar, makanan, perubatan dan sebagainya.

Pada 25 Mei lalu, kesemua rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan GSF 2.0 ke Gaza selamat tiba di tanah air.

Sebelum itu, Sumud Nusantara Command Center (SNCC) memaklumkan semua 50 kapal yang menyertai misi GSF 2.0 membawa 430 aktivis kemanusiaan termasuk 29 rakyat Malaysia dipintas dan ditahan tentera Israel berhampiran perairan Cyprus pada 18 Mei lalu.

Antara sukarelawan yang menyertai misi itu ialah Norazman Ishak, Muhammad Hareez Adzrami, Nor Liyana Farhan Daud, Zainal Rashid Ahmad, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, Hazwan Hazim Dermawan, Norhelmi Ab Ghani, Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Shamsir Mohd Isa.