Pemain Belanda jadi sasaran hinaan perkauman

Iklan
Quinten Timber menjadi antara mangsa utama serangan berbuar perkauman selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi yang berakhir 1-1 selepas masa tambahan di Monterrey. Foto: Agensi

BEBERAPA pemain Belanda menjadi sasaran hinaan bersifat perkauman dan diskriminasi di media sosial selepas kegagalan mereka dalam penentuan sepakan penalti yang menyaksikan skuad Oranje tewas 2-3 Maghribi alam aksi Pusingan 32 Piala Dunia FIFA 2026.

Persatuan Bolasepak Belanda (KNVB) mengesahkan pemain seperti Justin Kluivert, Quinten Timber dan Crysencio Summerville menjadi antara mangsa utama serangan berkenaan selepas ketiga-tiga mereka gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam aksi yang berakhir 1-1 selepas masa tambahan di Monterrey.

Iklan
Iklan

KNVB menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak boleh diterima dan mengumumkan bahawa mereka akan membuat aduan rasmi melalui saluran Meld Online Discriminatie bagi membolehkan siasatan undang-undang dijalankan terhadap individu terlibat.

Menurut badan induk bola sepak Belanda itu, setiap laporan akan dinilai oleh pakar undang-undang sebelum kemungkinan aduan rasmi dikemukakan kepada pihak pendakwa raya, seterusnya membuka ruang kepada siasatan jenayah.

Iklan

Isu ini sekali lagi mengingatkan kepada insiden sama yang pernah berlaku sebelum ini, apabila pemain England turut menjadi sasaran serangan perkauman selepas tewas dalam penentuan penalti pada final Euro 2020.

Ketika itu, Marcus Rashford, Bukayo Saka dan Jadon Sancho menerima hinaan di media sosial sehingga membawa kepada tindakan undang-undang terhadap beberapa individu.

Iklan

KNVB dalam kenyataan turut menegaskan bahawa bola sepak sepatutnya menjadi platform penyatuan masyarakat pelbagai latar belakang, namun diskriminasi dan kebencian di media sosial jelas bertentangan dengan nilai sukan tersebut.