“CANTIK nama, sedap bunyi dan maknanya pun baik.” Itulah antara reaksi yang tular di media sosial sejak usai pasangan selebriti popular, Fattah Amin dan Amira Othman berkongsi nama anak sulung mereka sehinggakan menjadi perbualan hangat netizen.
Bukan sahaja kerana ia kedengaran indah, tetapi disebabkan pemilihan nama itu rupa-rupanya sarat dengan makna dan nilai yang positif.
Apa yang menariknya, ia juga ‘lari’ dari kebiasaan yang mana sebelum ini orang kita sangat suka pilih formula huruf pangkal nama ibu ayah untuk diletakkan pada anak.
Namun bagi Fattah dan Amira, bezanya mereka memilih haluan berbeza apabila sepakat mencari nama tersebut selepas hadir ke kelas pengajian agama demi memberikan yang terbaik buat permata hati.
Ironinya, baik moden mahupun tradisional, pendek atau panjang, satu perkara kekal sama adalah nama bukan sekadar untuk dikenali.
Ia adalah doa yang hidup yang akan terus mengalir sepanjang hayat seseorang, membawa harapan ibu bapa setiap kali ia disebut oleh sesiapa sahaja di dunia ini.
Di sebalik trend yang mencuri tumpuan itu, ia sebenarnya membuka satu perbincangan yang lebih besar tentang kenapa Islam sangat menitikberatkan pemilihan nama yang baik untuk anak-anak.
Dalam Islam, nama bukan sekadar panggilan harian, sebaliknya ia identiti, doa dan harapan yang akan mengiringi seseorang sepanjang hidupnya.
Bayangkan sahaja, setiap kali nama itu disebut oleh keluarga, rakan, guru, bahkan orang yang tidak dikenali sekalipun, jutaan sebutan itu sebenarnya menjadi satu bentuk doa yang berulang-ulang tanpa kita sedari.
Daripada sudut itu sahaja sudah cukup untuk menunjukkan betapa besarnya nilai sebuah nama yang dibawa sejak lahir sehingga ke akhir hayat.
Perkara tersebut turut diperkukuhkan oleh pandangan Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang menegaskan memberi nama baik kepada anak tanggungjawab besar bagi ibu bapa.
Menerusi portal miliknya, beliau menjelaskan dalam sejarah, masyarakat musyrikin pada zaman dahulu memberi nama berdasarkan sembahan atau kepercayaan mereka, lalu Islam hadir dengan garis panduan jelas supaya umatnya memilih nama membawa maksud baik dan ada unsur Arab yang murni.
Tambah beliau, nama juga mempunyai nilai yang tinggi kerana dengannya seseorang itu dikenali di dunia dan dengan nama yang sama jugalah dia akan dipanggil pada hari akhirat kelak.
Menariknya, apabila bercakap tentang pemilihan nama anak, rakyat Malaysia terkenal dengan kreativiti tersendiri yang kadang-kadang boleh buat kita tersenyum sendirian.
Sehingga kini, nama Princess Aura Nurr Ermily Amara Auliya Bidadari Nawal El Zendra binti Mohd Suffian masih direkodkan sebagai nama paling panjang pernah didaftar di negara ini, selain nama seorang graduan UiTM iaitu Aminasufi Aininnaim Manisalamuhibahati Aminjaya yang pernah mencuri perhatian netizen.
Apa yang jelas, penularan kisah nama anak Fattah dan Amira membuktikan trend pemilihan nama pada hari ini sudah berubah kepada pendekatan lebih tenang dan mendalam.
Segelintir ibu bapa kini tidak lagi taasub dengan nama komersial atau sekadar sedap didengar, sebaliknya lebih berhati-hati mencari makna terbaik kerana sedar setiap huruf yang disebut membawa maksud yang jauh lebih besar daripada sekadar identiti di atas kertas.
*Zaiton Abdul Manaf ialah Editor SinarPlus