Pahang catat kutipan hasil lebih RM700 juta

Iklan
Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN - Kutipan hasil negeri Pahang mencecah lebih RM700 juta dalam tempoh kurang enam bulan tahun ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu sekali gus meletakkan Pahang pada landasan betul untuk mengulangi kejayaan kutipan lebih RM1 bilion yang direkodkan empat tahun berturut-turut sejak 2022.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jika dibandingkan dengan tempoh sama pada tahun lalu, prestasi kutipan hasil negeri tahun ini dilihat lebih baik dari tahun sebelumnya walaupun berdepan krisis global kesan peperangan yang berlaku di Asia Barat.

"Tidak pernah berlaku lagi dalam sejarah sebelum akhir Jun kita dah dapat RM700 juta lebih.

Iklan

"Selalunya kita dapat dalam RM600 juta dalam tempoh itu tapi kali ini kita dapat RM700 juta lebih. Ini menunjukkan bahawa prestasi kewangan yang sangat baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Apresiasi Guru Pahang 1st 2026 dan Penyampaian Hadiah Kecemerlangan SPM 2025 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Selasa.

Iklan

Wan Rosdy berkata, prestasi itu turut disumbang kecekapan pihak yang berkaitan bagi memastikan hasil negeri meningkat.

"Kita juga berjaya meminimakan ketirisan yang turut menyumbang kepada peningkatan hasil tahun ini.

"Saya sangat optimis kejayaan mengulangi kutipan hasil lebih RM1 billion tahun ini akan dapat dicapai berdasarkan rekod prestasi yang ada sehingga hari ini," ujarnya.

Tahun lalu, Kerajaan Pahang mengulangi pencapaian kutipan hasil melebihi RM1 bilion tahun ini, sekali gus merekodkan kejayaan tersebut untuk empat tahun berturut-turut sejak 2022.