KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa mengkaji semula had kepekatan alkohol dalam darah (BAC) yang dibenarkan bagi pemandu di negara ini bagi mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, had BAC di Malaysia ketika ini iaitu 0.08 peratus adalah lebih tinggi berbanding beberapa negara Asia seperti Jepun dan Korea Selatan yang menetapkan had 0.03 peratus manakala China hanya 0.02 peratus.
Katanya, perbezaan itu menyebabkan Malaysia dilihat lebih longgar dalam membenarkan individu yang berada di bawah pengaruh alkohol memandu di jalan raya.
"Di Korea Selatan dan Jepun, BAC untuk setiap pemandu adalah 0.03 peratus. Malah, di China hanya 0.02 peratus sahaja yang dibenarkan.
"Bagaimanapun, di Malaysia pula 0.08 peratus. Justeru, isu pemandu mabuk ini mesti dinoktahkan segera. Berapa ramai lagi yang perlu menjadi mangsa dek kerana pemandu mabuk?" katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.
Naib Presiden Pas itu turut memuat naik rakaman video ucapannya di Dewan Rakyat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 dalam hantaran berkenaan.
Menurut Idris, berdasarkan kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), pemanduan di bawah pengaruh alkohol meningkatkan risiko kemalangan sehingga 13 kali ganda.
Ekoran itu, beliau menegaskan, kerajaan perlu mempertimbangkan pindaan terhadap had BAC sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
"Dengan kata lain, Malaysia dengan mudah memberi kebenaran kepada individu yang berada di bawah pengaruh alkohol yang tinggi untuk memandu di negara ini.
"Kesimpulannya, saya mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan pindaan termasuk menilai semula had BAC yang terdapat di negara ini supaya keselamatan semua pengguna jalan raya lebih terjamin," ujarnya.
Kata beliau, usaha menjaga kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat tidak akan memberi makna sekiranya nyawa pengguna jalan raya masih terancam akibat sikap tidak bertanggungjawab pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk.
“Badan kita sedia dijaga, setiap hari ‘brisk walk’. Ahli Parlimen Tambun kita tengok makan beliau jaga, buat senaman dan itu sunnah. Apa kita nak bagitahu walaupun kita jaga tapi kita bimbang (kalau) tiba-tiba (kita) mati kemalangan,” kata beliau.